KUALA LUMPUR – Stesen radio, Suria FM memaklumkan bahawa akaun media sosial Instagram (IG) milik mereka, @suriamalaysia yang digodam pada Jun lalu kembali aktif bermula 13 Julai lalu.

Menurut Pengurus Kanan Suria FM, Cik Roslinda Abd Majid atau DJ Lin berkata, akaun Instagram itu berjaya diperoleh kembali setelah hampir sebulan berusaha.

“Walaupun kebanyakan ‘posting’ didapati telah dipadam, namun jumlah pengikut Instagram Suria Malaysia tidak berubah banyak. Kejadian akaun media sosial digodam ini sedikit sebanyak telah menjejaskan beberapa kerjasama yang dirancang untuk tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kembali dilancarkan bermula hari ini, DJ Lin berkata, pihak Suria FM akan terus mengemaskini akaun tersebut dengan maklumat dan perkembangan terkini untuk pengikut setia stesen radio di Instagram.

Suria juga jelasnya, berterima kasih kepada pengikut yang kekal mendengarkan Suria dan menggunakan platform media sosial Suria FM yang lain semasa kejadian ini.

Dalam masa terdekat juga, beliau memberitahu Suria akan memberikan pelbagai hadiah menarik menerusi platform Instagram @suriamalaysia kepada pengikut lama dan baru.

Untuk info lanjut, dengarkan Suria FM di frekuensi seluruh Semenanjung Malaysia dan laman web suria.my. Dengarkan juga Suria melalui aplikasi Suria FM yang boleh dimuat turun di Google Playstore dan App Store. – MalaysiaGazette