Sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti maksiat dan pelacuran sejak dua tahun lalu bersama 3 gadis warga asing berjaya ditangkap dalam serbuan Op Noda PJ di Kota Damansara baru-baru ini.Gambar Ihsan: Pasukan IPD PJ.

KUALA LUMPUR – Modus operandi satu sindiket yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran dan menjadikan sebuah bangunan rumah kedai sebagai pusat operasinya terbongkar.

Mereka dikatakan membuka tempahan gadis untuk khidmat seks menerusi aplikasi WeChat dengan kadar RM200 bagi satu jam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menyerbu premis tersebut dalam Op Noda di Jalan PJU 3/29 Kota Damansara pada 15 Julai lalu sekitar jam 8.30 malam.

“Hasilnya, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun dipercayai penjaga pusat maksiat tersebut memantau pergerakan atau kehadiran pihak berkuasa.

“Semakan rekod lampau saspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah namun mempunyai tiga rekod lampau ditangkap di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

“Pemeriksaan lanjut di dalam premis berkenaan polis berjaya menahan tiga wanita warga asing berumur lingkungan 27 hingga 32 tahun sebagai pekerja di dalam premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nik Ezanee, polis turut berjaya menemui dan merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk aktiviti maksiat sepertimana di butiran rampasan.

Ujar beliau, soal siasat awal mendapati premis itu menjalankan operasi aktiviti pelacuran selama lebih kurang dua tahun.

“Namun aktiviti terlarang itu dihentikan seketika disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi kembali aktif pada awal Mei lalu.

“Mereka didapati menggunakan aplikasi WeChat untuk membuat tempahan dengan harga ditawarkan untuk khidmat seks adalah RM200 satu jam.

“Kesemua saspek telah ditahan reman selama 14 hari dan disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963,” ujar beliau.

Manakala suspek penjaga premis itu, katanya gagal menunjukkan lesen atau sebarang dokumen operasi pusat urut yang sah turut ditahan reman selama empat hari.

“Dia disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Polis merampas tiga helai tuala, tiga bungkus tisu basah, tiga botol minyak urut dan 10 keping kondom pelbagai jenama selain sekeping kertas disyaki jadual kerja pekerja khidmat seks dan wang tunai berjumlah RM216 untuk tindakan lanjut,” tegas beliau.-MalaysiaGazette