Air Selangor akan memaklumkan perkembangan bekalan air dari semasa ke semasa.

KUALA LUMPUR – Bekalan air yang terjejas di lima wilayah pulih sepenuhnya pagi ini.

Ketua Komunikasi Pengurusan Air Selangor (Air Selangor), Elina Baseri dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berterima kasih atas kerjasama baik daripada pengguna kepada semua warga kerja Air Selangor yang bertugas sepanjang misi bantuan dijalankan

Antara wilayah yang terjejas sebelum ini adalah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak dan Kuala Langat.

Kesemua wilayah itu terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual berikutan penggantian dan penambahbaikan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 pada 14 Julai lalu.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman menjangka bekalan air di kawasan terjejas pulih sepenuhnya jam 5 petang hari ini.

Bagaimanapun, kerumitan itu berjaya diselesaikan lebih awal.

Maklumat terkini bekalan air boleh didapati melalui aplikasi Air Selangor di Google Play atau Apps Store, media sosial atau laman sesawang www.airselangor.com – MalaysiaGazette