Bangunan Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat penyelewengan Tabung Haji (TH) seperti didakwa Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, meskipun kerajaan telah mengeluarkan jawapan bertulis di Parlimen bahawa institusi umat Islam itu mencatat keuntungan, namun, RCI perlu diadakan bagi merungkai segala tuduhan dan memberi jawapan sama ada berlaku penyelewengan ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

“Rakyat perlu mengetahui kebenaran berhubung segala tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap BN itu apakah ia benar-benar berlaku dan apakah benar dakwaan bahawa TH rugi, namun ditutup oleh BN.

“Begitu juga, rakyat khususnya umat Islam mahukan jawapan yang pasti apakah benar penjualan aset-aset milik TH berlaku di era PH.

“Bagaimana status pindah milik aset-aset milik TH kepada syarikat khas di bawah Kementerian Kewangan. Semua ini perlukan jawapan yang jelas dan tepat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru menurut Mustafa Shah lagi, kerajaan diharap menerima cadangan Pemuda UMNO supaya RCI ditubuhkan segera agar ketelusan dapat dibuktikan dan rakyat mendapat jawapan yang tepat.

Ujarnya, adalah amat tidak wajar sekiranya institusi yang begitu penting bagi umat Islam menjadi mangsa dan dimanipulasi demi kepentingan politik pihak tertentu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Jika betul lah ada penyelewengan dan mereka yang diamanahkan cuba ambil peluang di atas titik peluh orang2 islam utk menunaikan ibadat……..hina sungguh manusia berkenaan.

Comments are closed.