Perdana Menteri ,Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Pelancaran Program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan di Foyer, Dewak Filharmonik Petronas, Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Selepas 36 tahun dilancarkan, negara sekali lagi melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 dengan sasaran untuk memperkukuhkan perbelanjaan domestik dan menggalakkan pengguna membeli barangan buatan tempatan terutamanya pasca Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kempen Beli Barangan Malaysia juga disasarkan untuk mempertingkatkan lagi keupayaan syarikat-syarikat tempatan khususnya dalam memperkukuhkan aliran tunai dan daya saing.

Tambahan pula, Malaysia mempunyai keupayaan dalam mengeluarkan produk-produk kritikal merangkumi sektor makanan dan minuman, peranti perubatan, ubat-ubatan, petrokimia dan peralatan perlindungan peribadi seperti sarung tangan dan pelitup muka.

Apabila negara mempunyai keupayaan tersebut, Muhyiddin berkata, Malaysia mampu mengurangkan aliran keluar matawang ringgit dan seterusnya meningkatkan eksport produk tempatan.

“Saya ingin menyarankan kita semua sebagai pengguna agar berbelanjalah untuk Malaysia kerana setiap perbelanjaan kita dapat membantu memastikan ekonomi negara kita kekal berdaya saing.

“Kita pastikan setiap perbelanjaan adalah lebih nilai untuk wang ke atas produk termasuk produk tempatan yang berkualiti.

“Dengan berbelanja, kesan penggandaan dalam ekonomi dapat dipertingkatkan, mewujudkan peluang pekerjaan dan seterusnya menambahkan hasil pendapatan rakyat,” kataya semasa berucap melancarkan Program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 di KLCC hari ini.

Tambah Muhyiddin, dunia termasuk Malaysia berhadapan dengan cabaran kelembapan pertumbuhan ekonomi akibat Covid-19.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat berskala pertengahan dan multinasional mengalami kesukaran daripada segi kekangan aliran tunai serta kehilangan atau kekurangan pelanggan.

Malah, rantaian bekalan turut terjejas terutamanya bagi sektor industri serta perkhidmatan yang bergantung kepada bahan mentah, komponen dan bekalan import.

“Justeru, kerajaan menggkaji dan menilai semula dasar sedia ada untuk mengurangkan kebergantungan kepada produk import dan memberi keutamaan kepada pembiinaan keupayaan industri tempatan mengeluarkan produk buatan Malaysia,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut Perdana Menteri, Kempen Beli Barangan Malaysia tidak wajar hanya terhad kepada sektor pembuatan sahaja tetapi seharusnya meliputi tawaran perkhidmatan seperti pelancongan, kesihatan dan logistik.

Katanya, bagi memastikan Kempen Beli Barangan Malaysia dapat memberi impak besar kepada sektor peruncitan tempatan, kerajaan melalui PENJANA telah memperuntukkan dana sebanyak RM20 juta.

Ini katanya, akan menggalakkan penandaan barangan buatan tempatan di rangkaian pasar raya dan mewujudkan saluran khusus untuk produk tempatan di platform e-dagangan utama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast