Aifaa Zaffan Bagauddin Abdul Aziz
Aifaa Zaffan Bagauddin Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan diseru supaya mewujudkan kembali Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah dimansuhkan oleh Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir negara pada penghujung 2018.

Ini kerana, program yang mempunyai modul-modul teratur seperti Modul Fizikal, Kenegaraan, Pembinaan Karakter dan Khidmat Komuniti telah memberi kesan positif kepada bekas alumni program tersebut malah, pembentukan sebuah anak bangsa telah diwujudkan di dalam program ini, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Selangor, Aifaa Zaffan Bagauddin Abdul Aziz.

Beliau berkata, umum mengetahui bahawa PLKN telah ditubuhkan pada 2004 dengan penyertaan seramai 885,956 belia dalam negara sehingga 2018.

“Dewan Pemuda Ikatan Selangor menggesa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Belia dan Sukan mengkaji semula perancangan kerajaan terdahulu pada tahun 2016 yang ingin memberi nafas baru iaitu PLKN 2.0 supaya sebarang kelemahan dan penambahbaikkan PLKN sebelum ini dapat di atasi.

“Pihak kerajaan boleh juga mendapat maklum balas daripada bekas alumni program ini dan juga NGO Belia melalui Majlis Belia Malaysia (MBM) akan cadangan modul-modul baru yang sesuai dengan generasi anak muda pada hari ini,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, semangat kenegaraan semakin ditinggalkan dalam kalangan golongan belia kini dengan kemajmukkan budaya dan masyarakat berbilang kaum yang kian pudar.

Sambutan ulang tahun Ke-50 Rukun Negara yang dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah isyarat kepada semua pihak untuk menyemarakkan penghayatan prinsip dan nilai yang terkandung dalam Rukun Negara terutama bagi mengeratkan perpaduan rakyat di negara ini, katanya.

Justeru tambah beliau, DPIM Selangor mencadangkan satu jawatankuasa khas mengenai mengembalikan PLKN perlu dibentuk dengan kadar segera memandangkan undi 18 tahun yang telah diluluskan akan memberi satu nafas baru kepada anak muda dan melalui program ini akan dapat membina jati diri dan semangat kenegaraan yang tinggi dalam setiap jiwa anak muda bangsa Malaysia. – MalaysiaGazette