Wakil peniaga pasar malam, Salmah Othman bersama peniaga lain yang mempersoalkan tindakan MPKj terhadap tapak pasar malam di Seksyen 9, Bangi baru-baru ini.

BANGI – Sudah diberi lesen tetapi tidak dibenarkan berniaga. Jadi apa guna beri lesen? Jika tidak boleh berniaga janganlah beri lesen dulu.

Ikut logik akal, kalau bukan kerana rasuah bermakna Majlis Perbandaran Daerah Kajang (MPKj) terlalu ‘bodoh’ untuk mentadbir. Bunyinya kasar tetapi itulah rasionalnya.

Demikian luahan wakil 300 peniaga di tapak pasar malam Seksyen 9, Salmah Othman, 55, yang meluahkan rasa kecewa ekoran tapak berkenaan belum dibenarkan beroperasi sebagaimana pasar malam di seluruh negara.

Katanya, sesuatu yang pelik kawasan tanah terbiar berkenaan telah terbiar sekian lama tidak ada sesiapa pun berminat mengusahakannya.

“Tetapi setelah berpenat lelah dan berjuta ringgit wang dibelanjakan untuk memajukan kawasan ini seperti meratakan tanah membina sistem saliran, gerai berniaga dan sebagainya ada pula tangan ghaib yang cuba merampasnya daripada kami.

“Kenapa masih tidak benarkan kami semua berniaga di sini sedangkan tidak jauh daripada tapak ini sudah mula beroperasi perniagaan baharu food truck, aneh bukan?

“Lesen perniagaan kami akan tamat pada hujung Julai ini hanya tiga hari kami berkesempatan berniaga arahan sebelum Perintah Kawalan pergerakan (PKP) oleh kerajaan Mac lalu.

“Lokasi ini strategik dan ada desas desus mengatakan ada pihak penganjur lain yang berminat dengan lokasi ini sudah campur tangan dengan pihak berkuasa tempatan, benar atau salah pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang kena siasat bukan kami.

“Di mana Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Bangi yang kata nak bantu peniaga kecil sedangkan sekolah sudah dibuka, masjid sudah dibuka dan pasar malam lain sudah dibuka, kenapa kami tidak boleh?” soalnya ketika ditemui baru-baru ini.

BACA: Apa sudah jadi dengan peniaga di Selangor?

Soal Salmah;”Adakah ini tindakan sengaja menganiaya dan menindas kerana 80 peratus peniaga pasar malam ini adalah ibu tunggal, golongan B40 dan golongan yang hilang pekerjaan tetap sejak ekonomi merudum dan ancaman pandemik Covid-19?

“Ramai yang sebelum ini menganggur dan mula berniaga, ada yang meminjam wang dengan ah long dan bergolok gadai untuk memulakan perniagaan di sini tetapi malangnya sudah hampir setahun masih belum dapat berniaga untuk meneruskan kehidupan.

“Kami rasa tertipu dan teraniaya oleh kerajaan negeri, PKR dan PH yang menjanjikan memperjuangkan hak rakyat Selangor tetapi inikah maksud sebenarnya? Kami ini bukan rakyat ke? Menyesal besar memilih pakatan hancing memerintah Selangor.

“Ayam pun sanggup berbuat apa sahaja jika anaknya tak makan inikan pula kami manusia. Kesabaran kami sudah melepasi hadnya.

“Kami akan membuat laporan polis dan SPRM jika dalam sehari dua ini masih tidak diselesaikan.

“Kami harap rakyat di daerah ini buatlah petisyen minta ditukarkan yang diPertua dan pegawai-pegawai yang dipercayai tidak amanah menjalankan tugas yang dibayar gaji dengan wang cukai rakyat. Cukuplah kita tertipu dengan kerajaan hipokrit Selangor ini,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sewa tapak setahun, berniaga 3 hari sahaja

1 Komen

Comments are closed.