Presiden PEMA, Zamri Zainon bersama peniaga pasar malam, Seksyen 9, Bangi dalam satu demonstrasi berikutan tindakan MPKJ yang belum membenarkan operasi di tapak itu sejak arahan penutupan perniagaan ditarik semula kerajaan.

BANGI – Seramai 300 peniaga pasar malam Seksyen 9, bandar Baru Bangi yang masih tidak dibenarkan berniaga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pelakunya kerana jelas terdapat unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Menurut Presiden Pertubuhan Penggerak Ekonomi Malaysia (PEMA) yang mewakili peniaga dan ahlinya yang juga teraniaya, Zamri Zaimon, dua situasi fahaman mudah orang awam mengenai definisi rasuah ialah apabila tidak melakukan apa yang sepatutnya dilakukan dan atau tidak melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

Katanya, dikhabarkan penganjur tapak diminta membayar sewa sebanyak RM19,000 sebulan kepada anak syarikat Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS) yang menguruskan aset berkenaan, PI Briliant, tetapi syarikat itu dipercayai hanya membayar RM5,000 sahaja kepada PKNS.

“Jika benar maklumat itu, ke mana perginya RM14,000 yang dibayar penganjur setiap bulan itu? Penganjur memaklumkan bahawa tapak ini adalah milik kerajaan negeri Selangor di bawah PKNS.

“Kenapa pihak penganjur tidak diminta membayar terus kepada PKNS sebagaimana bayaran yang lain? Malah kami ragu-ragu samada bayaran yang dibayar itu sampai kepada PKNS atau tidak, kerana modus operandi menggunakan ‘orang tengah’ ini juga berlaku di premis lain di bawah PKNS.

“Jelas mereka telah melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Timbul persoalan di sini kenapa tidak bayar terus kepada PKNS seperti sewaan aset yang lain,” katanya kepada wartawan.

Menurut pihak penganjur merangkap Pengarah Urusan Eta Global Resources Sdn Bhd, Datuk Mohd Shah Taib, beliau memohon untuk memajukan tanah yang telah terbiar sekian lama itu bagi membantu golongan peniaga kecil-kecilan, ibu tunggal, kelompok orang miskin (B40) serta mereka yang terkesan daripada pelaksannan Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19.

“Kebenaran telah diperolehi dan kami telah membelanjakan lebih RM1.5 juta bagi menyediakan tapak ini seperti meratakan tanah, menyediakan perparitan dan sistem pengairan, jalan, gerai dan sebagainya.

“Peniaga telah pun membeli stok bekalan barangan dan menaruh harapan tinggi dapat menyelesaikan masalah ekonomi mereka. Namun hampa berkecai apabila Majlis Perbandaran Daerah Kajang (MPKj) masih tidak membenarkan mereka berniaga? Hanya sempat tiga hari sahaja berniaga dari 15 Mac hingga 17 Mac 2020.

“Pihak saya dan peniaga terima dan akur penutupan disebabkan oleh PKP, bagaimanapun kerajaan telah pun menarik semula penutupan ini tetapi kenapakah MPKj masih menutupnya?.

“Tapak yang diusahakan ini adalah bazar malam, yang sudah semestinya dan secara logik akalnya tidak akan dibina bangunan kekal bertingkat seperti rumah kedai, kondo dan sebagainya.

“Namun setelah lesen diberi dan telah mula berniaga, MPKj menetapkan pula syarat kejuruteraan bangunan. Pihak penganjur juga telah akur melantik (syarikat) kejuruteraan malah membayar denda RM25,000 lagi kepada MPKj.

Bayaran penalti kepada MPKJ

“Setelah itu, dikenakan lagi pelbagai syarat baru seperti bayaran cagaran pengurusan dan lain-lain yang sudah dibayar setakat ini berjumlah lebih RM60,000 yang pada mulanya langsung tidak dinyatakan ketika lesen kebenaran berniaga dikeluarkan.

“Anehnya, dikenakan pelbagai bayaran walaupun operasi perniagaan belum dibenarkan lagi.

“Mengikut amalan standard, jika tidak cukup syarat lesen tidak boleh dikeluarkan. Amanah dan tanggungjawab MPKj lah yang memberitahu peniaga, memantau dan menguruskannya. Tetapi ini dengan sengaja telah tidak dilakukan oleh MPKj,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga, Salmah Othman yang mesra dipanggil Bonda (gelaran yang dianugerahkan oleh istana kepadanya) menekankan halangan itu berlaku kerana tangan ghaib yang jelas wujudnya unsur rasuah.

“Ada desas desus mengatakan seorang jutawan yang berminat dengan tapak ini setelah melihat penganjur berjaya memajukan tapak yang kini berpotensi dan dilihat strategik. Tidak seperti sebelumnya.

“Hipotesis ini diperkuatkan dengan berbagai syarat dan tindakan tidak munasabah yang sengaja dikenakan oleh MPKj dengan tujuan kami gagal berniaga sehingga tamat tempoh lesen.

“Tapak ini yang semuanya telah siap cantik akan diberikan pula kepada pihak lain. Jika hipotesis itu benar, jelas ia adalah penganiayaan dan jenayah terancang. Kami harap pihak berkuasa berkenaan dapat menyiasat dan mengambil tindakan walaupun kami telah menjangkakan itu tidak akan berlaku,” katanya.

Siasatan oleh sekumpulan pakar (pakar dalam bidang masing-masing) mendapati wujudnya unsur-unsur rasuah di perbagai peringkat, melibatkan jutawan “tangan ghaib” yang kebal dari tindakan undang2

Kumpulan pakar ini bersedia membantu SPRM dalam mencari dan mengumpul bukti bagi membawa mereka ke muka pengadilan.

Buat masa ini maklumat ini dan kaedah yang digunakan untuk mengesahkan perlakuan rasuah tersebut tidak dapat didedahkan kepada umum. – MalaysiaGazette

Sewa tapak setahun, berniaga 3 hari sahaja

2 Komen

Comments are closed.