Keadaan bas pelancong glasier yang terbalik selepas berpusing ketika melalui laluan yang curam ke Columbia Icefields, Kanada.

OTTAWA – Perjalanan 24 orang pelancong yang menuju ke pergunungan Rocky di Alberta berubah menjadi tragedi selepas bas pelancongan glasier terbalik, mengorbankan tiga orang penumpang dan mencederakan beberapa yang lain.

Polis berkata, pemandu bas itu antara yang tersebut.

Bas yang direka dengan saiz tingkap luas dan tayar yang besar untuk memudahkan pemanduan berada di atas ais sedang mendaki ke kawasan pergunungan di laluan yang curam ke Columbia Icefields di Jasper National Park ketika nahas berlaku.

Satu rakaman yang disiarkan oleh Canadian Broadcasting Corp menunjukkan bas berwarna merah dan putih rosak teruk dan bumbungnya bersandar pada batuan yang terbentuk oleh glasier.

Punca nahas belum diketahui.

Semua agensi kecemasan digerakkan ke kawasan tersebut sejurus kemalangan.

Helikopter digunakan untuk membawa mangsa-mangsa yang terkorban dan cedera dari lokasi nahas sebelum diangkut menaiki ambulans.

Tanya Otis, jurucakap Pursuit, syarikat yang mengendalikan lawatan ke pergunungan itu berkata, kejadian tersebut melibatkan salah satu bas khasnya yang digunakan untuk membawa pelancong berjalan di atas glasier.

Sementara itu, jurucakap Perkhidmatan Kesihatan Alberta, Sabrina Atwal, berkata, beberapa hospital di wilayah itu menerima penumpang yang cedera, termasuk beberapa dalam keadaan “kritikal dan serius.”

Lapangan ais itu adalah tarikan utama pelancong antarabangsa yang merupakan sebahagian daripada Glasier Athabasca, glasier terbesar di pergunungan itu yang membekalkan tiga sistem air utama di barat Kanada.

Seorang saksi menerusi Twitter berkata, dia juga tersekat dengan beberapa penumpang lain di dalam bas lain yang kemudian terpaksa berhenti selepas kejadian itu.

Lelaki itu berkata, dia melihat bas itu hilang kawalan dan berpusing.

Rob Kanty, yang menyaksikan insiden itu setelah selesai menyertai lawatan bas sebelumnya, berkata, bas itu telah melalui gelongsor batu.

Tambahnya, bas itu juga tidak mempunyai tali pinggang keledar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast