Pegawai KPDNHEP bertanyakan sesuatu kepada peniaga ayam ketika melakukan pemeriksaan di sebuah pasar awam di Selangor. Foto: Facebook KPDNHEP

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka ke atas peniaga- peniaga ayam yang disyaki melakukan kesalahan mencatut hasil pemeriksaan yang dilaksanakan pada tempoh 17 Jun hingga 30 Jun 2020 lalu.

Semua kertas siasatan tersebut sedang dalam siasatan lanjut untuk melengkapkan dokumen pembuktian sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Lapan kes ini melibatkan empat peruncit di Pasar Awam Melaka dan empat pemborong ayam iaitu satu di Melaka dan tiga lagi di Kuala Lumpur, kata Pengarah Penguatkuasa, Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Menurutnya, semua kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Katanya, kementerian itu telah menjalankan pemeriksaan susulan aduan kenaikan harga ayam yang diterima daripada orang ramai pada 15 Jun lalu.

Hasil pemantauan harga ayam semasa pada bulan Julai 2020 ini mendapati harga runcit ayam standard telah mula menunjukkan trend penurunan di pasar basar dan pasaraya bermula 1 hingga 17 Julai 2020.

Trend ini adalah selari dengan penurunan harga ladang ayam hidup yang menunjukkan penurunan harga pada minggu kedua Julai antara RM4.50 hingga RM5.40/kg daripada minggu pertama RM5.20/kg hingga RM6.10/kg pada Julai 2020.

Harga ayam standard pada bulan Julai 2020 adalah antara RM8.00/kg hingga RM8.50/kg dan telah menurun pada minggu kedua dengan harga RM7.60/kg hingga RM7.90/kg.

“KPDNHEP akan terus memantau bekalan dan harga ayam semasa di pasaran supaya pengguna dapat membeli ayam dengan harga yang berpatutan,” katanya. – MalaysiaGazette