Ketua Pemuda Amanah Selangor, Fauzi hasim berucap pada sidang media mengenai isu tapak pasar malam di Seksyen 9, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JULAI 2020.

BANGI – Setelah mendengar aduan ratusan peniaga di Bazar Malam, Seksyen 9, Bangi yang tidak dibenarkan berniaga walaupun sudah ada lesen, Ahli Majlis Perbandaran Daerah Kajang (MPKj), Fauzi Hasim hari ini tampil bersuara.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Amanah Selangor turut berterima kasih kepada pihak penganjur tapak bazar malam, Eta Global Resources Sdn Bhd yang mengadakan majlis dialog antara peniaga, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan wakil MPKj kerana menerusinya banyak maklumat rakyat disampaikan secara langsung.

“Jika saya ada kuasa, sudah tentu hari ini juga saya benarkan peniaga berniaga tetapi saya perlu terlebih dahulu bawa isu ini ke mesyuarat bersama Ahli Majlis dan Yang DiPertua MPKj.

“Setelah diteliti ada beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan oleh pihak penganjur sebelum operasi perniagaan dibenarkan di tapak ini.

“Saya juga Ahli Majlis bahagian perlesenan, tetapi isu ini perlu dibincangkan dengan beberapa lagi Ahli Majlis lain dan saya memahami situasi tertekan rakyat yang bergantung harap kepada tempat ini untuk mencari rezeki,” katanya kepada wartawan.

Beliau bagaimanapun enggan memberi komen ketika ditanya wartawan samada peniaga akan diberi tapak sementara atau dibenar berniaga secara penjaja sementara isu teknikal dapat diselesaikan.

Tapak pasar malam di Seksyen 9, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 JULAI 2020.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Eta Global Resources Sdn Bhd, Datuk Mohd Shah berkata, pihaknya agak kecewa kerana syarat teknikal tidak pernah diberitahu sebelum lesen diberikan dan hanya diketahui selepas diberi lesen dan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).

“Bukannya kami tiada pengalaman dalam penganjuran tapak niaga ini sudah masuk 17 tahun, agak terkejut apabila perkara ini berlaku tambah pula sewa tapak hanya setahun dan akan tamat Oktober ini.

“Agak aneh banyak bayaran dikenakan sejak tamat PKP dalam keadaan peniaga tidak berniaga, kehilangan pendapatan sejak PKP tetapi kami tetap akur dan menjelaskan semua bayaran yang dikenakan.

“Selepas satu bayaran dibuat ke MPKj, dikenakan pula syarat lain yang memerlukan kami membayarnya pula, selepas ia selesai timbul pula isu teknikal yang lain malah saya dimaklumkan ada fail yang diserahkan sudah hilang.

“Dalam isu teknikal setakat ini hanya satu sahaja yang belum selesai itupun baru beberapa hari lalu dimaklumkan kepada saya.

“Mekanisme ini (iaitu tidak dimaklumkan semua syarat lebih awal sebelum lesen) perlu ditambahbaik di masa akan datang kerana jika masih tidak berubah ramai penganjur akan rasa teraniaya seperti kami,” katanya. – MalaysiaGazette