Pakar ekonomi, Peck Boon Soon berkata, tanda pemulihan telah kelihatan seawal Mei dengan peruncitan menunjukkan prestasi yang meningkat semula jika dibandingkan secara bulanan, tetapi kenaikan itu adalah sangat rendah.
Katanya, keadaan itu menunjukkan pemulihan masih “teruk” jika dibandingkan dengan prestasi tahun lalu.
Menurutnya, data menunjukkan sektor pembinaan yang telah beroperasi semula berdepan pelbagai isu termasuk aliran tunai, soal pekerja dan kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Keadaan pemulihan pembinaan berada pada tahap tidak sihat,” katanya dipetik Nanyang Siang Pau dalam satu forum virtual anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI).
Boon Soon berkata, indeks perindustrian sedang mengalami pemulihan, tetapi penyusutan masih tinggi jika dibandingkan secara tahunan.
Walau bagaimanapun, Boon Soon berkata, Malaysia menunjukan prestasi sangat memuaskan dalam usaha memerangi COVID-19, keadaan yang membantu pemulihan ekonomi.
“Jika tidak, kerajaan mungkin perlu menghabiskan lebih banyak duit untuk pakej rangsangan dan hasil rangsangan juga akan menjadi ‘tawar’ disebabkan keadaan wabak.
“Jika wabak tidak dikawal dengan baik, peniaga dan pengguna akan lebih berhati-hati, satu keadaan yang akan menggangu rentak pemulihan ekonomi,” katanya.
Beliau berpendapat 20 peratus daripada pakej ransangan bernilai RM295 bilion yang dilancarkan kerajaan telah mencapai sasaran setakat ini. – MalaysiaGazette