Perbuatan vandalisme pada lukisan mural di sebuah dinding bangunan di Seksyen U12, Shah Alam

KUALA LUMPUR – Tidak sampai dua minggu dinding sebuah bangunan di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, dekat Shah Alam dihiaskan dengan lukisan mural, semalam berlaku perbuatan vandalisme.

Perbuatan yang dilakukan sekitar tengah malam tadi itu, dicemari dengan beberapa perkataan kesat, ditulis berhampiran wajah pemimpin negara seperti Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) dan Ketua Pengarah Kesihatan.

Biadab, lukisan mural yang baru siap beberapa hari lalu, telah diconteng dengan perkataan kesat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, beliau dimaklumkan oleh beberapa penduduk berdekat mengenai perbuatan itu pagi ini.

Katanya, beliau terkejut kerana baharu semalam Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat mural gergasi yang memaparkan pemimpin negara termasuk potret beliau di Taman Cahaya Alam.

“Saya akan berbincang dengan penduduk tengah hari ini untuk mendapatkan pandangan mereka dan tidak menolak kemungkinan akan membuat laporan polis.

“Kita mahu pihak yang bertanggungjawab yang melakukan perbuatan vandalisme dan biadab ini dihadap ke muka pengadilan.

“Saya tidak tahu apa motif mereka,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Dinding bangunan itu yang dahulunya dipenuhi dengan contengan vandalisme, kini dimurnikan menjadi  pameran mural gergasi memaparkan wajah pemimpin negara.

Potret pemimpin negara itu dilukis oleh ‘Miey Ali’ atau nama sebenarnya Muhammad Suhaimi Ali, 27, yang mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan lima potret mural berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Wujudkan semula matapelajaran wajib Tatarakyat atau yg seumpamanya agar semua peringkat sedar akan tanggungjawab dan rasa saling menghormati.
    Jenayah ini mesti dihukum

Comments are closed.