Salah satu daripada dua buah kereta yang rosak akibat satu struktur binaan yang sudah siap dipasang di tingkat 42 pangsapuri jatuh di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Satu struktur binaan yang sudah siap dipasang di tingkat 42 di sebuah pangsapuri jatuh menghempap dua buah kereta di tapak binaan Jalan Desa, Taman Desa hari ini.

Projek pembinaan pangsapuri berkenaan dikatakan sudah hampir siap bagaimanapun dikejutkan dengan kejadian jam 12.30 tengah hari ini.

Bagaimanapun tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Husdin Che Amat berkata, pihaknya membuat pemeriksaan petang tadi sejurus maklumat diterima mendapati struktur binaan itu dipasang bertujuan untuk dekorasi pada aras paling atas bangunan.

Sebahagian daripada struktur binaan yang sudah siap dipasang di tingkat 42 di sebuah pangsapuri jatuh menghempap dua buah kereta di tapak binaan Jalan Desa, Taman Desa hari ini.

“Siasatan awal mendapati terdapat sisa runtuhan yang telah jatuh dari tingkat 42 lalu menghempap sebahagian struktur tingkat 41 blok 4 kemudian terkena sebahagian kren menara, sebahagian lif pekerja (mast passenger hoist) lalu jatuh dalam tapak binaan aras bawah.

“Sebahagian lagi iaitu struktur binaan terjatuh keluar dari tapak binaan dan terkena dua buah kereta pekerja.

“Notis larangan henti kerja serta merta dikeluarkan JKKP di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 berkuatkuasa sehingga siasatan selesai.

“JKKP sudah memanggil pihak pemaju untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia (PERKREMA), Raziz Abd Rahman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan struktur binaan itu tidak menepati spesifikasi bagaimanapun biarlah pihak berkenaan menjalankan siasatan penuh.- MalaysiaGazette