KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta melakukan pengasingan atau kuarantin warga negara Malaysia yang dibawa balik dari luar negara di tempat-tempat yang dikawal oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mereka itu tidak wajar dibebaskan dengan meminta mengkuarantinkan diri sendiri di rumah.
Ini kerana, wujud beberapa kes mereka yang diarah mengkuarantinkan diri sendiri tidak akur dengan arahan tersebut sehingga menjadi penyebar wabak Covid-19 kepada rakyat yang lain.
Sehubungan itu, Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) mencadangkan MKN dan KKM melaksanakan kuarantin seperti mana yang dilakukan pada awal penularan wabak itu.
”Kami bimbang jika pendekatan itu tidak dilakukan, tidak mustahil gelombang kedua muncul semula dan menyebabkan ekonomi merudum semula,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Perdim mengakui penempatan warga-warga negara dari luar negara di hotel sudah tentu meningkatkan tanggungan kerajaan tetapi kos itu boleh dikurangkan jika mereka ditempatkan di pusat-pusat bertaraf asrama sahaja.
Yang paling penting golongan ini dapat dipantau dan dikawal pergerakan mereka.
Bagaimanapun, mereka yang mahu menginap di hotel pula perlulah menanggung sendiri bayaran tersebut, asalkan bukan dikuarantin di rumah kerana risikonya lebih besar terutama bagi mereka yang tidak memiliki disiplin kendiri.
Perdim juga meminta setiap majikan di negara ini memberi penekanan terhadap pemeriksaan ujian saringan Covid-19 dalam kalangan pekerja, termasuk pekerja asing.
”Wajibkan pemeriksaan FOMEMA dijalankan bersama saringan Covid-19 supaya pastikan mereka benar-benar tiada membawa wabak koronavirus,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Setuju sangat2…kerajaan kena tegas…ni degil punya manusia ni…membahayakan nyawa rakyat… kerajaan nak tunggu sampai lebih banyak infeksi baru nak kuarantin ka?? Apa yg istimewanya kluster kayangan ni??