KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju mewujudkan inisiatif ‘MalaysiaMudah’ (#MyMudah) untuk membantu syarikat dan perniagaan daripada dibebani peraturan tidak perlu dan karenah birokrasi.
Inisiatif ini juga bertujuan mengurangkan kos perniagaan selain merangsang pengwujudan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, semalam.
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memandang serius perkara itu mengarahkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) serta Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melakukan intervensi dan bertindak sebagai badan penyelesai masalah dalam menanganinya.
Para pemilik syarikat dan perniagaan terbabit boleh mengemukakan beban peraturan dan birokrasi yang mereka hadapi melalui Portal Konsultasi Awam Atas Talian (Unified Online Public Consultation Portal), selain pelbagai sesi libat urus yang dilaksanakan oleh EAC dan MPC.
Beban yang dibangkitkan akan dianalisa oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), seterusnya dibawa ke mesyuarat EAC untuk dinilai sebelum keputusan dibuat.
”Keputusan yang dibuat di mesyuarat EAC akan dilaksanakan oleh Kementerian dan kerajaan negeri terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Melalui inisiatif ini, kementerian dan kerajaan negeri akan dapat mengurangkan peraturan tidak perlu serta meningkatkan kecekapan perfungsian dan operasi mereka.
Selain itu, kementerian dan kerajaan Negeri juga diminta untuk menetapkan sasaran yang jelas dalam usaha mengurangkan kos pematuhan peraturan (termasuk jumlah prosedur dan jangka masa pemprosesan) yang dikenakan kepada syarikat dan perniagaan.
PEMUDAH akan memantau prestasi setiap kementerian dan kerajaan negeri dan membuat laporan berkala kepada EAC.
“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui MPC juga akan memberi panduan dan khidmat nasihat kepada semua Kementerian dan Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan inisiatif ini,” tambah Mustapa. – MalaysiaGazette