Maya Karin (kanan) memegang watak sebagai Makcik Fatimah dalam filem Olympic Dream.

KUALA LUMPUR – Pelakon terkenal Maya Karin mengharumkan nama negara apabila dia  menerima pengiktirafan Anugerah Kepujian dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik (Commendation in Best Actress Category) di Ramsgate International Film & TV Festival di England.

Pengiktirafan ini diperoleh wanita berusia 40 tahun itu menerusi lakonannya dalam filem Olympic Dream yang turut tersenarai sebagai Pilihan Rasmi (Official Selection) Festival tersebut.

Mengulas tentang pengiktirafan ini, Maya berkata, dia berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak juri Ramsgate International Film & TV Festival di atas pengiktirafan yang tidak dijangkakannya itu.

“Mungkin apa yang saya cuba sampaikan dalam filem ini memberi impak kepada juri dan penonton. Sejak pertama kali menerima skrip filem ini ianya sudah pun memberi kesan secara peribadi kepada saya.

“Walaupun tiada nama besar di dalam filem ini, saya bersetuju untuk membintanginya kerana tertarik dengan watak Makcik Fatimah. Saya juga ingin berterima kasih kepada pengarah dan pihak produksi yang memberi peluang untuk saya berkarya dan ruang untuk saya mendalami watak ini mengikut cara saya tersendiri.

“Dengan pengiktirafan ini, saya lebih bersemangat untuk terus memberikan yang terbaik dalam setiap naskhah yang saya bintangi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

‘lympic Dream merupakan filem terbitan Full Billion Entertainment Sdn. Bhd., sebuah syarikat produksi tempatan yang berpusat di Pulau Pinang.

Ramsgate International Film & TV Festival merupakan sebuah festival filem yang berpusat di bandar pesisir Ramsgate, England telah berlangsung baru-baru ini.

Festival itu memberi platform kepada pembuat filem bebas dari UK dan antarabangsa untuk berkongsi karya baru kepada orang ramai, pengedar  serta memupuk bakat baru.

Sejak penganjuran pertamanya pada tahun 2017, Ramsgate International Film & TV Festival telah menerima penyertaan dari seluruh dunia termasuk Australia, Brazil, Iran, Martinique, Filipina, Afrika Selatan dan Taiwan serta negara-negara Eropah dan benua Amerika Utara.

Sementara itu, Olympic Dream merupakan filem terbitan Full Billion Entertainment Sdn. Bhd. sebuah syarikat produksi tempatan yang berpusat di Pulau Pinang.

Filem arahan sutradara Don Hoe ini menyaksikan Maya yang memegang watak sebagai Makcik Fatimah menjadi pendorong kepada anak yatim di bawah jagaannya, Anna Wong yang mengejar impian untuk menjadi seorang permain badminton negara dan bertanding di kejohanan Olimpik.

Olympic Dream juga pernah merangkul  Anugerah Best Feature Film di Simply Indie Film Festival, Best Feature Film di Canadian Cinematography Award dan Best Family Film di Kinoduel International Film Festival. – MalaysiaGazette