Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjejaki seorang lelaki yang telah melarikan diri daripada polis walaupun keretanya ditembak di Kepong semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, semalam sepasukan polis Jabtan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Kuala Lumpur telah mengekori sebuah kereta yang disyaki membawa dadah dari Taman Tun Dr Ismail ke arah Jinjang.

Dalam kejadian lebih kurang 6.30 petang itu, polis telah membuat halangan menggunakan dua buah kenderaan polis di hadapan dan belakang kereta suspek.

“Seorang pegawai polis telah meluru ke kenderaan suspek dengan menjerit ‘polis’ dan menunjukkan kad kuasa polis.

“Suspek enggan memberikan kerjasama dan bertindak agresif serta cuba melarikan diri dengan memandu kenderaan secara
melulu ke arah pegawai polis tersebut dan mereka melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan suspek demi mempertahankan diri serta untuk memberhentikan kenderaan tersebut supaya tidak membahayakan
orang awam yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, suspek berjaya melepaskan diri, kata Mazlan.

Hasil siasatan awal mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan oleh suspek didaftarkan atas nama sebuah syarikat sewaan kereta.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek diteruskan.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian boleh menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana–mana balai polis berdekatan.- MalaysiaGazette