SPRM
ALOR SETAR – Dua lelaki etnik Rohingya ditahan semasa cuba merasuah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) RM25,000 supaya melepaskan 25 pendatang tanpa izin yang diseludup masuk kedalam negara.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kedua-dua suspek yang berusia 29 dan 35 tahun dipercayai bertindak sebagai tekong dan aktif dalam aktiviti penyeludupan manusia khususnya etnik Rohingya terutama ke Langkawi.

“Mereka ditangkap pada pukul 3.35 pagi tadi dalam satu operasi yang dilakukan oleh SPRM dan Maritim, ketika cuba menyogok pegawai penguat kuasa untuk melepaskan 25 pendatang Rohingya yang telah mendarat dan ditahan di Langkawi.

“Suspek cuba merasuah pegawai APMM sebanyak RM1,000 bagi setiap pendatang tanpa izin yang ditahan. Semua pendatang tanpa izin itu ditahan di sebuah rumah di Padang Matsirat, Langkawi,” katanya di sini, hari ini.

Katanya kes akan disiasat di bawah Seksyen 17(b), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan kedua-dua suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini hari ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu dan memberitahu kedua-dua suspek akan diserahkan kepada kepada polis untuk tindakan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Dalam kes berasingan, Shaharom Nizam berkata, SPRM turut menahan seorang kontraktor dan anak lelakinya atas dakwaan membuat tuntutan palsu berjumlah RM50,000 untuk pembelian dan penyelenggaraan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kem tentera di negeri ini, kira-kira tiga tahun lepas.

Katanya lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kedah pada pukul 7.35 malam semalam, manakala anaknya yang berusia 27 tahun yang juga pengurus sebuah syarikat ditahan pada pukul 12.12 tengah hari, sehari sebelum itu.

“Kontraktor itu ditahan reman tujuh hari bermula hari ini, manakala anaknya ditahan reman tujuh hari bermula semalam. Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009,” katanya. – MalaysiaGazette