Aminuddin Harun
Aminuddin Harun

KUALA LUMPUR – Bantuan Anak Sekolah (BAS) iaitu bantuan tunai tambang persekolahan murid sekolah rendah dari keluarga miskin sebanyak RM50 sebulan akan diteruskan oleh kerajaan Negeri Sembilan.

Malah, inisiatif itu juga akan diperluaskan lagi kepada pelajar Tingkatan 1, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan penerima bagi tahun 2020 adalah seramai 1818 orang pelajar miskin dari Darjah 1 hingga Tingkatan 1 dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.

“Berdasarkan rekod pembayaran bagi tahun 2019, seramai 1,230 orang murid sekolah rendah telah menerima manfaat daripada inisiatif ini dengan perbelanjaan sebanyak RM676,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru katanya, pada tahun ini perluasan pemberian diberikan kepada pelajar t\Tingkatan 1 menjadikan bilangan pelajar yang menerima manfaat bertambah seramai 588 orang (RM323,500) iaitu meningkat sebanyak 47.8 peratus berbanding tahun 2019.

Menurutnya, kerajaan negeri berharap bantuan berkenaan akan dapat meringankan beban bagi keluarga yang tergolong di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang akan menampung perbelanjaan anak-anak mereka ke sekolah.

“Bantuan berkenaan akan dibayar melalui Pusat Khidmat DUN dan juga Penyelaras DUN.

“Parlimen yang mempunyai jumlah penerima paling ramai adalah Rembau dengan jumlah 364 penerima diikuti dengan Kuala Pilah seramai 300 orang pelajar dan Jelebu seramai 251 orang pelajar,” kata beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.