KUALA LUMPUR – Sepasang tunang cuba membunuh diri dengan menggunakan racun serangga pada 4 Februari lalu apabila menyedari mereka menjadi mangsa penipuan oleh ejen pinjaman peribadi yang tidak wujud.
Bagaimanapun pasangan Arumugam Munisamey, 43, dan Valli Arunakary, 33, diselamatkan ibu Valli, M. Mala.
Arumugam yang merupakan seorang pemandu lori berkata, akibat kesempitan wang beliau melayari laman Facebook yang dihubungkan ke WhatsApp untuk mencari cara mudah membuat pinjaman.
Katanya, menerusi WhatsApp seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Henna dari Ipoh dan Tommy dari Seremban berjanji boleh mendapatkan pinjaman sebanyak RM30,000 daripada beberapa buah bank.
“Henna meminta saya menghantar kad debit bank dengan nombor pengenalan peribadi (PIN) dengan alasan dia perlu melakukan transaksi masuk keluar lebih kerap untuk meyakinkan bank CIMB bahawa akaun berusia tiga tahun itu selain memudahkan kelulusan pinjaman yang diperlukan.
“Pada 17 Disember lalu sekitar 12 tengahari saya telah menghantar kad debit bank beserta nombor PIN menerusi syarikat kurier ke alamat yang diberikan.
“Oleh kerana menunggu lama pinjaman itu tiada perkembangan selepas berminggu berhubung dengan Henna yang tidak meyakinkan, saya membuat keputusan dan dapatkan link profil Facebook pinjaman peribadi atas nama Credit Loan Express yang diuruskan ejen bernama Tommy dari Seremban dan kali ini menggunakan nama tunang saya Valli pada 28 Disember lalu,” katanya.
Kata Arumugam, dia diminta oleh Tommy supaya mendaftar satu kad sim dan membuka akaun baharu itu untuk memudahkan transaksi kewangan dalam talian dilakukan selain diminta menghantar slip gaji dua bulan dan kenyataan bank Valli.
Tidak lama kemudian, Arumugam memberitahu, beliau dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank dan mendakwa satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa lain ke atas akaunnya.
“Saya terkejut individu itu juga menunjukkan gambar penerimaan pinjaman berjaya oleh mangsa lain menerusi akaun saya, namun saya menolak dakwaan itu sebelum menutup segera akaun itu.
“Kemudian saya dan Valli membuka akaun baharu di Bahau sekaligus diserahkan nombor akaun, kad 16 digit dan juga nombor telefon menggunakan GD Express kepada Tommy selain menghantar kata laluan untuk perbankan online seperti diminta pada 6 Januari lalu sebelum diberi jaminan segala pinjaman wang akan diluluskan Februari 2020.
“Pada 20 Januari lalu, saya menyedari telah ditipu Tommy dan akaun milik saya dan Valli disalahgunakan oleh Tommy selepas menerima panggilan Inspektor Nalini dari Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah.
“Inspektor Nalini memaklumkan saya mempunyai 13 laporan polis penipuan wang menerusi akaun saya dan 14 laporan polis penipuan pinjaman wang ke atas akaun Valli,” ujarnya.
Terkejut dengan maklumat pegawai polis itu, katanya, dia bersama Valli bergegas ke Balai Polis Panchor di Pagoh dan Kuala Pilah untuk membuat laporan polis sebelum ke IPD Seberang Perai Tengah pada 27 Januari lalu.
Di situ, jelasnya, mereka dimaklumkan terdapat 27 laporan polis kerana melakukan penipuan pinjaman bernilai RM260,000 dibuat ke atas mereka berdua.
Katanya, polis turut mengesahkan dua individu yang berepranan sebagai runner telah ditahan di Pahang.
“Sejak itu kami lari dari utara ke selatan untuk turun naik mahkamah menghadapi pendakwaan di mahkamah sehingga terpaksa menjual kereta dan motosikal selain Valli terpaksa dibuang kerja akibat kesemua kes penipuan ini, kami masih ada beberapa pertuduhan yang bakal dihadapi di Pulau Pinang dan Johor sepanjang Julai ini.
“Pada 4 Februari lalu, tidak tahan dengan penderitaan kes ini, saya dan tunang beserta dua anak perempuannya bertekad hendak bunuh diri minum racun serangga tapi bakal emak mertua saya bernama Mala telah halang kami,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, S. Arutchelvan berkata, beliau menulis surat kepada beberapa pihak berkaitan untuk menggugurkan pertuduhan yang dihadapi oleh kedua-dua mangsa.
Katanya, surat telah dihantar kepada Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara, Majlis Peguam serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.
“Kami rayu semua pihak berkuasa tertinggi yang bertanggungjawab supaya mempertimbangkan nasib keluarga ini yang jadi keldai akaun sindiket scam dan menggugurkan kes kes pendakwaan mereka dan siasat segera sebagai mangsa demi keadilan sewajarnya.
“Saya juga menasihati masyarakat walaupun seteruk mana menghadapi kesempitan wang jangan sesekali terpedaya dengan iklan palsu dan berkongsi kad bank serta nombor pin serta nombor akaun kepada individu tidak dikenali,” kata beliau.-MalaysiaGazette