Seorang pengamal perubatan Islam disyaki mencabul seorang wanita yang sedang mendapatkan rawatan.

GEORGE TOWN – Polis menahan 10 lelaki termasuk tiga anggota polis bagi membantu siasatan berhubung kes samun menggunakan pistol di sebuah premis pengurup wang di sini membabitkan kerugian RM100,000 pada 14 Julai lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata dalam kejadian pada 9.45 malam itu, juruwang syarikat pengurup wang tersebut yang baru selesai kerja telah ditahan empat lelaki menaiki sebuah kereta dengan lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seorang daripadanya mengacukan pistol ke arah mangsa supaya diam serta tidak melawan.

“Kejadian itu berlaku tidak jauh dari lokasi premis pengurup wang tersebut dan lelaki berkenaan kemudiannya dibawa semula ke premis itu sebelum suspek melarikan wang tunai pelbagai mata wang sebanyak RM100,000 yang terdapat di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ekoran laporan polis daripada juruwang itu, polis menubuhkan pasukan khas bagi mengesan suspek terlibat sebelum berjaya menahan 10 lelaki termasuk dua warga asing yang kesemuanya berusia antara 24 hingga 44 tahun hasil risikan dan intipan.

Beliau berkata semua mereka ditahan secara berasingan di sekitar Pulau Pinang dan Perak dalam tempoh 24 jam kejadian samun bersentaja api tersebut serta tiga anggota polis itu bertugas di Kontinjen Perak.

Sahabudin berkata susulan penahanan mereka, polis merampas tiga kenderaan yang digunakan suspek dalam kejadian itu termasuk sebuah kereta Proton Preve yang mempunyai lambang PDRM dan dua pucuk pistol milik PDRM.

Tambahnya, polis turut merampas semula wang tunai pelbagai mata wang sebanyak RM20,000 yang ditanam dalam kawasan kebun cili di Kampung Perlis, Balik Pulau dekat sini semalam dan pihaknya sedang mengesan baki duit yang mereka samun itu.

“Penemuan wang itu selepas seorang daripada mereka mengaku menyembunyikan hasil samun dengan menanamnya di kawasan kebun tersebut. Sepasukan polis telah ke sana dan berjaya menemukannya semula,” katanya.

Beliau berkata polis sedang mengesan seorang lagi lelaki yang identitinya telah dikenal pasti dipercayai turut terlibat dalam samun tersebut dan siasatan juga mendapati suspek yang berasal dari Pulau Pinang itu dipercayai dalang utama kejadian berkenaan.

Menurutnya, seorang daripada tangkapan itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan semua 10 lelaki tersebut kini masih direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan menggunakan senjata api.

— BERNAMA