Zahida Zarik Khan.

KUALA LUMPUR – Keputusan bank-bank komersial untuk tidak menyambung tempoh moratorium atau juga dikenali sebagai ‘loan holiday’ yang akan berakhir September ini pastinya menimbulkan keresahan rakyat, lebih-lebih lagi golongan berpendapatan rendah (B40).

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, langkah itu dijangka mengundang pelbagai kesan kepada yang punya pinjaman peribadi, kenderaan dan perumahan.

“Jadi Oktober akan datang pastinya akan menjadi permulaan bulan yang amat mencabar bagi kumpulan rakyat yang disebut, sehinggakan ramai yang menggelar sebagai ‘Red Oktober’ atau ‘Oktober Berdarah’.

“Pihak bank selaku penyedia pinjaman juga perlukan pembayaran balik bagi memastikan ‘cash flow’ kembali normal.

“Rakyat pula tertekan teruk apabila terpaksa menanggung hutang isi rumah walaupun dalam keadaan tiada sumber pendapatan.

“Situasi ini ibarat ‘between rock and hard places’ kerana kedua-dua pihak sama-sama terkesan akibat penularan Covid-19 yang melanda negara,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Sehubungan itu, bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat bersama, sayap UMNO itu menggesa pihak bank memberi kelonggaran 50 peratus moratorium kepada peminjam bagi tempoh 6 bulan akan datang.

“Moratorium bersasar kepada (golongan B40, pinjaman rumah pertama dan kereta pertama.

“Ini agar ada ‘soft landing’ bagi peminjam-peminjam supaya mereka dapat menyesuaikan diri bagi menghadapi masa sukar selepas September nanti,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, rakyat harus bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana bertindak pantas menyalurkan pelbagai agihan bantuan.

“Ini termasuklah Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Subsidi Upah, dan banyak lagi pakej-pakej ransangan yang sudah diumumkan.

“Kami juga berharap lebih banyak bantuan-bantuan terus daripada kerajaan kepada golongan sasar agar nasib mereka yang memerlukan terbela,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast