Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Penularan harian kes Covid-19 di negara ini kembali merekodkan satu angka iaitu sembilan kes positif sahaja setakat 12 tengahari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara adalah sebanyak 8,840 kes setakat ini.

Katanya, terdapat lapan kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya Covid-19 dan telah discaj dari wad sebanyak 8,574 kes (97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 143 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan daripada sembilan kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan satu warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang mempunyai keluarga yang menetap di Malaysia atau dibenarkan masuk di atas urusan kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perkembangan harian di kementeriannya hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, tiga kes import berkenaan masing-masing satu kes dari Singapura, India dan Filipina.

Katanya, daripada enam kes penularan di dalam negara, empat kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia manakala dua kes adalah di kalangan bukan warganegara.

Ujar beliau, kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara iaitu dua kes adalah satu di Sabah iaitu kes saringan sebelum dibebaskan dari penjara dan satu kes di Kelantan iaitu saringan tahanan di penjara sebelum dipindahkan ke Depot Tahanan Imigresen (DTI).

“Perincian kes penularan Covid-19 dalam negara dalam kalangan warganegara Malaysia iaitu empat kes pula adalah seperti berikut semuanya dilaporkan di Sarawak.

“Satu kes adalah daripada KLuster Statong, satu kes KLuster Sentosa, satu kes daripada KLuster Kejuruteraan Kuching dan satu kes masih dalam siasatan kerana beliau tidak bergejaa dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Sehingga kini, hanya lima kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Untuk hari ini tiada pertambahan kes kematian baharu berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini kekal sebanyak 123 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya. – MalaysiaGazette