PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan memberi amaran negara bakal menyaksikan peningkatan kes jangkitan Covid-19 secara mendadak dalam masa terdekat sekiranya kadar kebolehjangkitan mencapai lebih 1.6.

Ketua Pengarah Kesihatannya Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu menyebabkan kebolehjangkitan kes pada 9 Julai lalu pada kadar 63 kes dan hari ini mencatat angka berganda iaitu 143 kes.

Katanya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan kadar kebolehjangkitan atau R-naught berada pada tahp 3.55 yang bermakna seorang akan menjangkiti 3.55 orang.

“Sejak pelaksanaan PKP hingga Peirntah Kawalan Pergerakan Bersyarat contohnya, kita dapat mengurangkan R-naught berkenaan kepada kurang daripada 0.3 sahaja bermakna kita dalam fasa pemulihan sekaligus sehingga 1 Julai lalu, kes catat satu angka sehingga mencapai sifar tiga hari berturut-turut,

“Namun, setelah kita saksikan pertambahan kes baharu sekarang, kebolehjangkitan kita setakat 9 Julai menjadi 63 kes dan hari ini angka berganda sebanyak 143 kes.

“Kalau R-naught berkenaan meningkat kita bimbang semakin ramai akan dijangkiti Covid dan hari ini bacaan R-naught adalah 1.36, jadi apa yang membahayakan kita adalah ia mencapai lebih 1.6 bererti kita akan mendapatkan peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh masa terekat,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 harian di siniĀ  petang ini.

Oleh demikian belau merayu rakyat supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan awam yang mensyaratkan tiga perkara iaitu pemakaian litupan muka, penjarakan sosial satu meter dan pencucian tangan lebih kerap menggunakan sabun atau sanitizer.

Katanya, walaupun penguatkuasaan Akta 342 hanya terlaksana mulai 1 Ogos ini, setiap warganegara Malaysia boleh mewajibkan diri dan keluarganya mematuhi kesemua tiga SOP itu.

“Kalau kita memakai litupan muka dan juga penjarakan sosial pada jarak sekurang-kurangnya 1 meter, kita boleh mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 antara 60 dan 65 peratus.

“Jadi kedua-dua perkara ini wajib diamalkan dan penting untuk kita bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19,” tegasnya.

Beliau pada masa sama mengakui sejak kebelakangan ini kes harian didapati kembali
meningkat dan ada kalanya ia mencapai dua angka apabila pada 1 Julai 2020, 15 kluster baharu dilaporkan berkemungkinan disebabkan ketidakpatuhan orang ramai kepada arahan serta nasihat kerajaan dalam menangani wabak ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, analisis data terkini yang diperolehi melalui aplikasi MySejahtera menunjukkan dari 7 Julai 2020 hingga 20 Julai 2020, 24.8 peratus daripada jumlah individu yang diletakkan di bawah Home Surveillance Order (HSO) tidak menggunakan Home Assessment Tool iaitu penilaian kendiri setiap hari selama tempoh kuarantin di rumah iaitu selama 14 hari.

Dalam perkara tersebut katanya, setakat ini bilangan pengembara yang pulang dari luar negara Individu dalam pemantauan (PUS) yang dikehendaki menjalani HSO adalah seramai 31,674 orang.

“Manakala jumlah yang sudah tamat tempoh kuarantin adalah seramai 18,416 tetapi daripada jumlah itu 10 peratus didapati tidak menjalani saringan Covid-19 pada hari ke-13.

“Kita sudah memaklumkan kepada polis untuk tindakan tegas yang mana polis sudah memulakan pengesanan kesemua 10 peratus itu.

“Berkenaan ujian swap Covid-19 tiga hari sebelum tiba ke negara, tapi kita kini tak wajibkan jalani saringan covid tiga hari sebelum sampai di pintu masuk utama negara, tetapi bergantung kepada negara yang menetapkan peraturan itu atau pesawat dan syarikat penerbangan yang mewajibkan sebelum naik pesawat.

“Tetapi apabila tiba di pintu masuk antarabangsa negara, kita akan jalankan ujian swap RTTCR dan mereka akan dikuarantin selama 14 hari wajib di Pusat Kuarantin Institut Latihan Awam atau di hotel yang ditetapkan KKM dan sekirnya bergejala positif dan juga negatif kedua dua kes akan diasingkan di hospital,” ujar beliau. – MalaysiaGazette