Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique bergambar beramai-ramai bersama Naib Censelor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Ti Lian Ker, Ketua Setiausaha Perpaduan Negara, Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi, Pengarah Pengasas Institut Kajian ETNIK, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin dan yang lain selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Perpaduan Negara dan Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). foto MOHD ADZLAN, 23 JULAI 2020.

BANGI – Pendidikan Rukun Negara hari ini dilihat tidak lagi semantap dulu mengakibatkan berlakunya beberapa perlakuan yang mencetuskan provokasi dan kemarahan dalam kalangan rakyat.

Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, rakyat kini tidak lagi menghayati maksud Rukun Negara seterusnya menjadikannya sebagai tunggak untuk menghormati negara dan pemimpin.

“Perkara utama adalah balik kepada asas pendidikan Rukun Negara. Sepatutnya semua orang tahu masa sekolah kita hafal Rukun Negara. Bila kita hafal Rukun Negara waktu itu kita juga tahu maksudnya, melihat keadaan ada hari ini mungkin pendidikan Rukun Negara tidak semantap sewaktu dulu,” katanya kepada pemberita di Universiti Kebangsaan Malaysia  (UKM) hari ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique bercakap dengan media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Perpaduan Negara dan Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). foto MOHD ADZLAN, 23 JULAI 2020.

Menurut Halimah, pendidikan Rukun Negara berteraskan Rukun Perpaduan merupakan salah satu fokus utama Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dijalinkan di antara Kementerian Perpaduan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Tiga fokus lain kerjasama kedua-dua pihak ini adalah penyediaan Indeks Perpaduan Nasional (IPNaS), Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) dan Pemantapan Institut Kajian dan Latihan Intergrasi Nasional (IKLIN).

Katanya, Kementerian Perpaduan akan turut bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk memperkasakan penghayatan prinsip Rukun Negara terutama dalam kalangan murid dan pelajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Beliau berharap agar usaha menerapkan pendidikan Rukun Negara akan mendapat sambutan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Sekarang kita di tahap perbincangan  untuk mengaturkan kerana bila kita nak bawa ke sistem pendidikan kita perlu dapat sokongan di Kementerian Pendidikan dan ada empat kementerian lagi,” katanya. 

Mengulas lanjut beliau berkata usaha pemerkasaan akan dilaksanakan menerusi penubuhan Jawatankuasa Pendidikan Rukun Negara dan Penjenamaan Semula Kelab Rukun Negara (KRN) dan Saketariat Rukun Negara (SRN).

MoU antara Kementerian Perpaduan dan UKM ditandatangani oleh Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi dan Naib Candelor UKM Datuk IR Mohd Hamidi Abd Shukor.

Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan meningkatkan keharmonian dan perpaduan antara kaum di Malaysia di samping merealisasikan Pendidikan Rukun Negara sebagai teas negara, seiring dengan Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara pada 9 Julai yang lalu.

Semalam Halimah dalam persidangan Dewan Rakyat berkata, usaha untuk menerapkan pendidikan Rukun Negara  dalam kurikulum sekolah sedang diteliti bersama dengan Kementerian Pendidikan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast