Prof Datuk Dr Mohammad Shatar (dua dari kiri) bersama Michael Tio bertukar dokumen perjanjian di Shah Alam, Selangor. Foto: UPSI

KUALA LUMPUR- Seramai 20 orang pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diterima menjalani latihan industri selama enam bulan di syarikat PKT Logistic Group.

Menurut Ketua Kumpulan Eksekutif dan Pengarah Pengurusan, PKT Logistics Group, Datuk Michael Tio, para pelajar berkenaan juga berpeluang untuk mendapat pekerjaan di syarikat berkenaan selepas menamatkan latihan industri masing-masing.

PKT Logistics Group adalah antara syarikat logistik yang paling berjaya di Malaysia dari segi media sosial dengan lebih daripada 108, 068 pengikut Facebook.

“Justeru, kami berhasrat untuk melengkapkan pengetahuan pelajar UPSI ini dengan kemahiran digital yang diperlukan seperti pemasaran media sosial, penciptaan kandungan, dan pengurusan e-dagang,” katanya dalam satu kenyataan sempena pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara PKT Logistic dan UPSI hari ini.

Tambah Michael, MoU itu juga membolehkan syarikat membantu merealisasikan agenda keusahawanan yang disasarkan kepada pelajar UPSI malah menyokong sepenuhnya aspirasi kerajaan dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dalam industri serta kebolehpasaran graduan.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book of Records (MBR) berkata graduan UPSI juga berpeluang untuk bekerja dengan MBR yang kini telah beralih daripada medium cetak ke platform dalam talian melalui penggunaan format digital.

“Kepentingan pemindahan pengetahuan dan peluang bagi pelajar UPSI dris untuk menjalani latihan industri di hab kami akan membantu memupuk graduan yang berjaya dan bersedia untuk bekerja,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata MoU itu adalah permulaan kepada pelbagai lagi kerjasama yang dijangka dapat memberikan manfaat kepada pelajar dan juga ahli akademik UPSI melalui perkongsian pengetahuan yang berharga dari PKT Logistic.- MalaysiaGazette