Lpaan penyokong liar Liverpool ditahan mengambil dadah, memandu mabuk serta melanggar arahan polis, berhimpun dan bertindak liar di kawasan Stadium Anfield kelmarin

LONDON – Sembilan orang penyokong liar Liverpool ditahan polis kerana ingkar arahan berkaitan Covid-19 kerana berhimpun di hadapan Anfield bagi meraikan kejayaan menjulang Piala Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 30 tahun.

Ribuan penyokong the Reds berkumpul bersama kanak-kanak pada malam Rabu semasa Sir Kenny Dalglish menyampaikan piala bersejarah itu di stadium yang kosong selepas aksi menewaskan Chelsea 5-3.

Polis yang mula bimbang akan risiko penularan Covid-19 mengeluarkan amaran dan perintah bersurai terhadap lebih 3,000 yang berhimpun hadapan stadium.

Dalam usaha itu, sembilan penyokong liar berjaya ditahan kerana disyaki mabuk, mengambil dadah dan memandu bawah pengaruh alkohol.

Malah ada juga ditahan kerana mengingkar arahan polis yang melarang berkumpul besar-besaran hadapan Stadium Anfield dan terlibat serangan.

Liverpool dalam kenyataan rasmi hari ini menyatakan kekesalan terhadap insiden di luar stadium dan kebiadapan para penyokong yang mengingkar arahan selain bertindak liar di hadapan Anfield.

“Kelab berterima kasih kepada penyokong yang telah mematuhi arahan polis dan meraikan kemenangan dari rumah tanpa berkumpul di atas jalan sekaligus merisikokan diri dan orang lain dalam situasi Covid-19.

“Begitu juga setinggi penghargaan kepada pihak yang membersihkan bandaraya Liverpool selepas sekumpulan besar berkumpul dan meraikan kemenangan,” kata kelab itu.

Polis terlibat dalam tindakan menyuraikan penyokong selepas jumlahnya semakin meningkat beberapa jam kemudian malam tersebut.

Sementara itu Jurgen Klopp dan kapten pasukan Jordan Henderson menyeru semua penyokong supaya mengosongkan tempat stadium dan duduk di rumah mengelak risiko penularan Covid-19.

“Polis berjaya memastikan penyokong bersurai dan bersyukur tiada kerosakan harta benda atau sebarang insiden jenayah seperti yang berlaku pada 27 Jun lalu apabila 20 orang suspek dicekup,” ujarnya.

Dalam insiden sebelum ini, sikap liar dan gangsterism segelintir penyokong Liverpool mengakibatkan 34 orang mengalami kecederaan dan tiga berkeadaan serius akibat berhimpun beramai ramai dan bertindak liar dengan menyalakan suar di luar stadium penghujung Jun lalu.-MalaysiaGazette