KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) menggesa agar Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Azulita Salim tidak lagi memegang jawatan berkenaan, sebaliknya ditukar dengan calon yang lebih layak.

Perkara tersebut didakwa disepakati oleh semua pengerusi PPN selepas mengadakan pertemuan di ibu pejabat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) hari ini untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr.Ronald Kiandee.

Kumpulan itu menerusi Pengerusi PPN Pulau Pinang, Datuk Ismail Umar mendakwa, Azulita menjadi punca kerosakan dan kegagalan yang berlaku dalam menyelia dan mentadbir Pertubuhan Peladang (PP), selain meminggirkan idea, pandangan serta luahan yang disuarakan kepadanya.

“Tindakan LPP ini dilihat sangat prejudis dan tidak profesional kerana tidak berpandukan kepada fakta dan penggunaan peraturan yang jelas,” katanya dalam kenyataan.

PPN dalam masa yang sama menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memantau dan mengambil tindakan tegas dan wajar terhadap mana-mana pihak yang mengakibatkan kerugian ke atas PP.

Tindakan tersebut menurut Ismail, selaras dengan Akta Pertubuhan Peladang 1973 bagi memastikan PP sentiasa telus dan berintegriti sekaligus dapat membela nasib hampir satu juta ahli yang bernaung dibawahnya.

“Kuasa dan tekanan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ke atas PP keterlaluan sehingga mengongkong dan merencatkan perjalanan Pertubuhan Peladang,” katanya.

Gesaan berkenaan merupakan antara cadangan yang terkandung dalam Memorandum PPN mewakili ahli peladang Malaysia kepada Ronald.

Ismail berharap kementerian itu dapat memberikan autonomi kepada PP bagi menjalankan perniagaan memandangkan struktur dan undang-undang sedia ada terikat dengan arahan-arahan Pendaftar yang tidak lagi relevan dengan persekitaran ekonomi dan perniagaan semasa.

Tambahnya, arahan Pendaftar PP Bilangan 1/2019 yang berkaitan dengan pindaan Perlembagaan perlu dimansuhkan agar tiada lagi campur tangan politik dan mengembalikan kuasa memlilih dalam kalangan ahli-ahli peladang

Selain itu katanya, beberapa isu berkait urus tadbir di LPP juga perlu ditransformasikan daripada segi pengurusan, pentadbiran dan hal ehwal berkaitan kakitangannya.

“Terdapat kenaikan pangkat di kalangan pegawai-pegawai LPP yang dilaksanakan sebelum kemasukan Pengerusi LPP yang baharu berdasarkan sifat pilih kasih dalam Kumpulan Pengurusan LPP sekaligus memberi kesan kepada prestasi PPN dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang diuruskan oleh pegawai LPP yang dipinjamkan.

“Ada juga rungutan dan keluhan daripada kakitangan dalam LPP sendiri mengenai suasana dalam LPP yang dilihat sangat kritikal akibat ketamakan kuasa dan percaturan politik di peringkat pengurusan serta tersasar dari matlamat dan polisi LPP itu sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, memorandum kepada kementerian itu turut meminta supaya menyemak semula tindakan penggantungan Nafas yang telah mencemarkan dan mencalarkan imej serta kredibiliti melibatkan Ahli Jemaah Pengarah, pengurusan dan perniagaan secara keseluruhan.

“Nafas mencatat keuntungan secara konsisten mulai tahun 2007 hingga 2017 namun mencatatkan kerugian besar secara keseluruhan berjumlah RM23,224,188 pada tahun 2018 walaupun menjalankan aktiviti dan perniagaan yang sama.

“Adalah sangat mendukacitakan apabila kerugian ini dicatatkan oleh Nafas atas kelemahan dan kecuaian lapan orang pegawai LPP yang mentadbir Nafas pada masa itu,” katanya. – MalaysiaGazette