Datuk Abdul Malik Dasthigeer

KUALA LUMPUR – Malik Streams Production & Distribution Sdn Bhd tidak akan sesekali berkompromi dengan individu mahupun kumpulan cuba mencemarkan imej negara di mata dunia.

Malah syarikat itu dari awal lagi sudah memberi kerjasama bagi memastikan pihak berkuasa dapat menjejaki serta menangkap lelaki warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir.

Rayhan dikehendaki pihak berkuasa apabila memburukkan imej negara melalui dokumentari terbitan aganesi berita, Al Jazeera dengan menyatakan pendatang warga asing menerima layanan buruk semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Malah, Rayhan mendakwa beliau adalah Ketua Pemasaran Malik Streams yang kemudiannya dinafikan syarikat tersebut.

Pemilik syarikat itu, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, pada awalnya beliau terkejut dan tidak tahu Rayhan menipu dengan mendakwa bekerja dengan Malik Streams.

“Itu sememangnya satu penipuan, lelaki itu hanya sekadar pekerja freelance (secara sambilan) sahaja. Pernah berikan khidmat sebagai kontraktor sahaja. Kenal juga tidak sangat, memang terkejut bila tahu dia dakwa dirinya berjawatan sebesar itu dalam syarikat kami.

“Saya dari awal lagi sudah tekankan, tidak akan sesekali beri muka mahupun berkompromi dengan individu yang menjatuhkan nama baik negara saya sendiri. Saya tidak tahu apa niatnya tapi dengan Malik Streams, itu memang tidak mungkin.

“Syarikat kami juga sebenarnya dari awal lagi telah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk jejak lelaki ini, saya gembira apabila diberitahu akhirnya Rayhan telah di tangkap pihak berkuasa semalam.

“Malik Streams juga akan ambil tindakan terhadap individu ini yang ternyata telah cuba mencemarkan imej syarikat dengan menggelar dirinya sebagai Ketua Pemasaran syarikat ini, sesuatu yang tidak betul dan kami ambil serius,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Malik mengingatkan orang ramai agar menyemak kesahihan sesuatu berita terlebiuh dahulu.

“Janganlah cepat percaya dengan semua yang anda baca atau lihat, semak dulu. Orang macam Rayhan ini boleh cakap sesuka hatinya, jangan kita percaya kemudian kita juga tolong sebar fitnah seperti itu. Orang sebegini akan rugi juga akhirnya,” katanya. – Malaysiagazette

Warga Bangladesh ditemubual Al Jazeera akan diusir, disenarai hitam

Polis juga dilaporkan memulakan siasatan terhadap stesen televisyen antarabangsa itu susulan penyiaran dokumentari terbabit yang antara lain mendakwa layan buruk Malaysia terhadap warga asing ketika berusaha mengekang penularan COVID-19 menerusi langkah PKP.

Md Rayhan dikatakan ditahan ketika bersembunyi di sebuah kondominium di Jalan Pahang, Kuala Lumpur hasil risikan sepasukan pegawai dan anggota bahagian risikan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.

JIM sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan memohon bantuan orang ramai bagi mengesan Md Rayhan Kabir bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63. –MalaysiaGazette