Jamil Dahlan menerima sumbangan daripada-Rosniza Baharum.

KUALA LUMPUR – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) melancarkan Ikhlas Prihatin bagi membantu pesawah-pesawah yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Bernas, Rosniza Baharum berkata, sumbangan yang diberikan merupakan salah satu tanggungjawab sosial syarikat itu kepada masyarakat, terutamanya pesawah.

“Bernas akan terus mengimbangi peranan komersil dan sosialnya. Tanggungjawab Sosial Korporat merupakan bahagian penting dalam asas perniagaan kami, dan Bernas selaku syarikat yang melaksanakan tugas sosial serta komersial bagi industri padi dan beras negara meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap kebajikan masyarakat,” katanyamenerusi kenyataan hari ini.

Bagi program Ikhlas Prihatin, Bernas telah ke Kampung Sungai Leman, Sekinchan baru-baru ini bagi memberi sumbangan kepada salah seorang pesawah yang terkesan iaitu Muhammad Jamil Dahlan, 54 tahun yang telah mengusahakan sawah semenjak tahun 1985.

“Hasil tuai tanaman padi Jamil pada musim ini menurun atas pelbagai faktor dan ini sekaligus menjejaskan pendapatan beliau. Kami berharap sumbangan yang diterima Jamil hari ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban beliau.

“Sumbangan berbentuk wang tunai dan barang-barang keperluan seperti beras, gula, rempah ratus dan lain-lain telah diserahkan kepada Jamil sekeluarga,” tambah beliau lagi.

Penerima sumbangan, Jamil dalam pada itu memanjat kesyukuran di atas sumbangan yang diterima.

“Saya merupakan pesawah sepenuh masa dan padi merupakan hasil pendapatan utama saya sekeluarga. Saya dan isteri sangat berterima kasih kepada Bernas yang sentiasa prihatin terhadap nasib pesawah seperti kami.

“Insya Allah bantuan wang sumbangan yang diterima, kami akan membaiki atap rumah yang telah lama rosak dan juga untuk kegunaan harian,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Rosniza memaklumkan program itu akan dilakukan secara berterusan.

Ikhlas Prihatin ini merupakan program di bawah Ikhlas Bernas.

Bernas yang berperanan mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara termasuk antaranya dalam sektor pengimportan beras, pengurusan dan pembayaran subsidi kepada pesawah, menguruskan Skim Pengilangan Padi Bumiputera, membeli padi daripada pesawah pada harga minimum terjamin serta bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada pesawah. – MalaysiaGazette