Wanita yang menjadi ejen sebuah syarikat jualan langsung disoal siasat oleh pegawai Penguatkuasa KPDNHEP.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan promosi atau pernyataan mengelirukan oleh ejen tertentu yang menjual produk kononnya boleh mencegah penyakit Covid-19.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, ini berikutan pihaknya mengesan satu penipuan oleh seorang wanita mempromosi produk berbentuk gelang berharga RM580.

Kata beliau, promosi itu telah tular dalam laman sosial Facebook wanita berkenaan dan bertindak atas aduan itu, sepasukan Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP telah melakukan pemeriksaan dan menyoal siasat ejen terbabit.

Produk gelang tangan yang dipromosi di media sosial kononnya mampu mencegah Covid-19 dijual pada harga RM580.

“Hasil soal siasat, kita dapati wanita itu merupakan ejen kepada sebuah syarikat jualan langsung yang mempromosikan produk gelang tangan tersebut melalui laman Facebook miliknya.

“Kita memandang serius kes seperti ini dan berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan promosi itu, terutama berkaitan pencegahan penyakit Covid-19,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Iskandar Halim, tindakan wanita itu mempromosikan produk dengan memberi pernyataan mengelirukan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10(1)(h), Akta Pelindungan Pengguna 1999.

Katanya, berikutan itu, tawaran kompaun maksimum sebanyak RM50,000 telah ditawarkan kepada ejen jualan langsung berkenaan hari ini.

“Sekiranya kompaun gagal dibayar dalam masa ditetapkan, individu tersebut akan dituduh di mahkamah.

“Penalti bagi kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 25, Akta Pelindungan Pengguna 1999 iaitu bukan suatu pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan, didenda tidak melebihi RM 100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Selain itu, nasihatnya, semua pihak yang menjual dan mempromosikan produk diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast