KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah
memulakan proses rundingan awam untuk mengumpul pandangan dan perspektif orang ramai terhadap pembangunan Rangka Kerja Identiti Digital Nasional.

Ia bertujuan menyediakan Malaysia dalam era digital.

Identiti Digital Nasional adalah pengesahan identiti seseorang individu secara elektronik berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografik seperti nama dan tarikh lahir.

Dengan adanya Identiti Digital Nasional, pengesahan identiti pengguna daripada sumber yang sahih membolehkan urusan perkhidmatan yang cepat, mudah, selamat, terlindung dan terjamin.

Identiti Digital Nasional juga berpotensi untuk mengelakkan berlakunya jenayah pemalsuan dan penipuan identiti secara dalam talian.

SKMM berkata, negara-negara seperti Estonia, United Arab Emirates dan United Kingdom
telah melaksanakan Identiti Digital Nasional mengikut kesesuaian konteks
negara masing-masing.

Maklum balas yang diterima akan dipertimbangkan dalam menilai dan menambah baik kertas cadangan mengenai Rangka Kerja Identiti Digital Nasional yang sesuai untuk Malaysia.

Ia juga membantu mengukuhkan aspek strategi dan hala tuju bagi pelaksanaan Identiti Digital Nasional terutamanya dalam memastikan konsep, penggunaan serta manfaatnya
kepada individu, pelbagai organisasi dan industri.

Sehubungan itu, orang ramai diminta tampil untuk menyertai Rundingan Awam Rangka Kerja Identiti Digital Nasional.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang www.mcmc.gov.my mulai 24 Julai 2020 hingga 7 Ogos 2020. – MalaysiaGazette