Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin mempengerusikan mesyuarat di Bilik Operasi Repatriasi Rakyat Malaysia di Beijing, China. Foto Wisma Putra

KUALA LUMPUR- Mengharungi perjalanan darat sejauh lebih 1,000 kilometer selama 17 jam dengan menaiki kenderaan MPV semasa proses repatriasi rakyat Malaysia di Wuhan antara cabaran yang perlu dilalui oleh kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di China baru-baru ini.

Menurut Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nurshirwan Zainal Abidin, sebaik sahaja berita penularan virus Covid-19 dilaporkan di China, pihak kedutaan telah membuat persediaan dengan mengumpul data rakyat Malaysia khususnya di Wuhan dan Wilayah Hubei.

Setelah persetujuan untuk membawa pulang rakyat dicapai, barulah bilik Operasi ditubuhkan di Kedutaan Besar bagi persediaan dan penyelarasan misi yang lebih teliti dan teratur, katanya.

 

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nurshirwan Zainal Abidin. Foto Wisma Putra

Dua misi yang diusahakan Kedutaan Besar Malaysia di China itu bermula pada 4 Februari 2020 melibatkan 106 orang rakyat dan misi kedua pada 26 Februari 2020 membabitkan  66 orang.

Kedua-dua misi tersebut hanya melibatkan rakyat Malaysia yang berada di bandar Wuhan dan beberapa bandar lain di dalam Wilayah Hubei.

“Wuhan merupakan misi pertama repatriasi dalam sejarah Kerajaan Malaysia yang berkaitan penularan virus Covid-19.

“Ianya terletak sejauh 1,172km dari Beijing dan ini menjadi kesukaran kepada kedutaan untuk membuat penilaian dan jangkaan terhadap situasi sebenar di lapangan kerana semua maklumat yang diperolehi adalah daripada media terbuka,” katanya dalam satu temubual bersama Malaysia Gazette baru-baru ini.

Tambah Nurshirwan, selepas mengharungi perjalanan sejauh lebih 1,000 kilometer, pasukan peninjau yang tiba di Wuhan hanya mempunyai tempoh 48 jam bagi persiapan akhir logistik seperti mendapatkan kelulusan pendaratan kapal terbang serta membuat pelan tindakan bagi memastikan kesemua rakyat tiba di pusat pengumpulan tepat pada masa yang ditetapkan.

Bilik Operasi di Wuhan. Foto Wisma Putra

Walaupun persiapan rapi telah dibuat, masih terdapat beberapa perkara yang tidak diduga terjadi seperti kelewatan kelulusan pendaratan di lapangan terbang yang merencatkan perancangan, ujar beliau lagi.

Disebabkan itu, menurut Nurshirwan, pasukan kedutaan terpaksa mengubah perancangan di saat-saat akhir.

“Terdapat kes terpencil yang mana rakyat Malaysia tidak dibenarkan melepasi sekatan rentas daerah oleh pihak berkuasa China berikutan masalah dokumentasi dan saringan kesihatan. Walau bagaimanapun, perkara tersebut dapat diatasi apabila pasukan peninjau berjaya menghubungi dan mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa China.

Tambahnya, keselamatan dan kesejahteraan pasukan peninjau juga sentiasa menimbulkan kebimbangan.

Namun, disebabkan mereka telah mematuhi SOP yang ada,pasukan ini berjaya melunaskan misi tersebut, katanya sambil mengucapkan penghargaan kepada kerajaan China, agensi-agensi kerajaan Malaysia dan AirAsia serta Hotel Shangri-La Wuhan yang banyak membantu misi berkenaan.

Rakyat Malaysia ketika berada di balai perlepasan di Lapangan Terbang Tianhe.
Foto Wisma Putra

Berdasarkan rekod Kedutaan Besar dan enam Konsulat Jeneral Malaysia di seluruh China iaitu di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai, dan Xi’an, daripada 21,000 rakyat Malaysia yang berdaftar, dianggarkan seramai 15,000 rakyat Malaysia kini berada di China termasuk Hong Kong dan selebihnya masih berada di Malaysia.

Dalam pada itu, seramai 141 orang pelajar berada di China dan kebajikan mereka sentiasa dipantau oleh pihak Education Malaysia di Beijing.

Menurut Nurshirwan, rata-rata rakyat Malaysia memilih untuk terus berada di China semasa tempoh pandemik kerana mereka terikat dengan peraturan kawalan pergerakan yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan di setiap wilayah di China. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.