KUALA LUMPUR – Pembangkang diminta tidak cuba mempolitikkan isu ‘pembeku sementara’ pengeluaran lesen baharu menjual minuman keras sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sebaliknya, menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Edmund Santhara, tindakan DBKL bukan untuk mendatangkan kerumitan kepada para peniaga atau pemilik sektor hiburan atau pelancongan.

Jelas Edmund, pihaknya mengambil pendekatan membekukan pengeluaran lesen kerana kekerapan berlakunya tragedi kemalangan melibatkan pemandu mabuk sehingga meragut nyawa orang awam.

Malah berita seumpama itu turut diketengahkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekaligus mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak saban hari.

“Ada NGO yang tampil lahirkan rasa kebimbangan mereka, ada juga pihak cuba politikkan isu ini dengan timbulkan kebimbangan tidak bertempat.

“DBKL bukanlah mansuhkan jualan lesen arak sebaliknya tangguh pengeluaran lesen baharu bagi tujuan kaji balik serta keluarkan garis panduan baharu. Juga hendak lakukan semakan perundangan sedia ada.

“Ini juga sebenarnya selaras dengan insiden kemalangan maut membabitkan pengambilan alkohol secara berlebihan daripada yang dibenarkan sejak kebelakangan ini.

“Juga ingin saya dedahkan di sini, hanya terdapat sebanyak 69 permohonan yang layak dipertimbangkan kelulusan pada 13 Ogos nanti.

“Persoalan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Parlimen tentang isu permohonan arak baru akan diberikan secara bertulis dalam tempoh 14 hari. Usah risau, DBKL tetap profesional,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, Teresa mempersoalkan rasional penggantungan pemberian lesen penjualan arak di Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong telah memperincikan beberapa cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu pemandu mabuk bakal berdepan hukuman berat penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 jika pindaan akta itu diluluskan Dewan Rakyat. –MalaysiaGazette