Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, bercakap kepada media ketika sidang media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Selain daripada menaikkan hukuman penjara bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, kerajaan turut bertindak sama kepada pesalah basikal lajak di bawah pengguna kenderaan mikromobiliti.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 akan melibatkan peningkatan kadar denda kepada pesalah basikal lajak daripada tidak kurang RM300 sebelum ini kepada denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000.

Malah mereka juga boleh dipenjara tidak lebih 12 bulan.

“Tujuan kita tidak mahu menghukum kalau kita benarkan kenderaan yang tidak mempunyai break atas jalan raya. Bayangkan kemalangan akan berlaku bila-bila masa.

“Itu yang kita nak buat pindaan. Dulu denda RM300 orang tidak takut, sekarang kita perketat dan hukuman lebih berat,” katanya dalam sidang media dalam sesi penerangan kepada media di Parlimen, hari ini.

Ka Siong berkata, hukuman akan dijatuhkan kepada ibubapa yang mendapati anak-anak mereka terbabit dengan aktiviti menunggang basikal yang diubahsuai secara berbahaya.

Pada Oktober tahun lalu, Sam Ke Ting, 24, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal pada 2017.

Majistret Mahkamah Johor Bahru Siti Hajar Ali membebaskan Ke Ting tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Kerajaan Perikatan Nasional hari ini mengusulkan pindaan bagi Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian dinaikkan kepada tempoh tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun, serta denda minimum RM50,000 sehingga RM100,000.

Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman penjara diperuntukkan selama tempoh tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM150,000.

Perkara itu terkandung dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada persidangan dewan kali ini. – MalaysiaGazette