Md Rayhan Kabir

KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) mempertahankan warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir mengguris hati rakyat negara ini.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, ini kerana Md Rayhan sudah membuktikan dirinya memiliki niat jahat mahu menjatuhkan imej negara di mata dunia menerusi kenyataan beliau di dokumentari terbitan Al Jazeera.

Katanya, kenyataan itu bukti yang jelas pengkhianatan malah melanggar syarat pas kerja dengan kerja di sektor lain serta beberapa rekod kesalahan Imigresen lampau, jadi tindakan Jabatan Imigresen adalah amat tepat iaitu batalkan permit dan usir keluar selama-lamanya.

“Orang yang masuk ke negara ini dengan pas kerja binaan tetapi melakukan kerja lain jelas menunjukkan peribadinya yang tidak jujur dan sengaja melanggar undang-undang negara ini.

“Jadi saya ingin bertanya kenapa masih koordinator Lawyers for Liberty (LFL) dan Suhakam mendakwa Rahyan tiada kesalahan?

“Secara logiknya hanya mereka yang ada kaitan dengan sindiket penyeludupan warga asing sahaja yang beria-ia membantu warga asing ini.

Shahul Hamid

“Berhubung apakah benar apa yang dikatakannya itu sewajarnya pihak berkuasa menyiasat siapa dalang di sebalik kenyataan beliau. Aneh benarlah seorang warga asing yang ada rekod kesalahan Imigresen mahu mencari wartawan media antarabangsa untuk ‘membantai’ Malaysia kecuali ada yang tolong bawa atau tunjuk cara.

“Malah beliau tidak menunjukkan sebarang bukti seperti rakaman video dan sebagainya untuk menyokong kenyataannya bahawa pegawai mana yang beri layanan berkenaan, tanpa bukti ia hanyalah satu fitnah dan hasutan semata-mata.

“Adakah kita hendak membiarkan sewenang-wenangnya warga asing memberi tohmahan dan hasutan tanpa langsung mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara kita?” soalnya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Suhakam yang mendakwa tindakan mengusir keluar dan menyenarai hitam Md Rayhan daripada memasuki Malaysia buat selama-lamanya sebagai tindakan terburu-buru selepas ditahan kerana mengeluarkan kenyataan memburukkan nama Malaysia.

Pesuruhjayanya, Jerald Joseph berkata, tindakan sebegitu mungkin dilihat wajar dari segi perundangan negara serta bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia tetapi ia bukanlah penyelesaian kepada isu yang berlaku.- MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.