Datuk Ramli Din menunjukkan rampasan dadah bernilai RM25.6 juta dala m kejayaan terbaharu JSJN Bukit Aman pada sidang media pagi ini.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan dua sindiket terbesar yang menyeludup dadah ke Sabah dan Indonesia dengan tertangkapnya 23 individu yang disyaki ahli sindiket tersebut.

Daripada jumlah tersebut, enam wanita yang mana dua daripadanya warga Thailand dan Vietnam berusia lingkungan 25 hingga 57 tahun.

Turut ditahan pada dua operasi khas oleh sepasukan amggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Selangor dan Johor pada 22 hingga 24 Julai lalu ialah dua individu yang merupakan ketua sindiket tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Komisioner Datuk Ramli Din berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah pelbagai jenis termasuk syabu dianggarkan seberat 296.8 kilogram

Tambah beliau, kesemua suspek ditahan menerusi 13 serbuan di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Johor menerusi Op Herion dan Op Watercress.

“Sindiket ini dipercayai bergerak aktif menyeludup dadah ke Indonesia dan negeri Sabah sejak sembilan hingga 12 bulan lalu.

“Dalam enam serbuan Op Heron 22 hingga 23 Julai lalu, serbuan pertama di sebuah rumah di Jenjarom, Selangor dua lelaki ditahan bersama Syabu seberat 43.4 kilogram disusuli lima lagi serbuan masing-masing di hotel mewah di Jalan Imbi, Hotel di Sunway Vellocity Cheras, sebuah rumah USJ21, Gelang Patah, Johor dan Genting Highlands menyaksikan 12 suspek berusia 25 hingga 49 tahun ditangkap dan syabu 750 miligram, wang tunai RM1.255 juta dirampas bersama beberapa barang kemas dan jam tangan Rolex RM35,000.

“Kita percaya berjaya melumpuhkan sindiket edar dadah ke Indonesia dan Sabah melalui pantai Johor, Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Tambah Ramli, sindiket sama juga terlibat mengedarkan dadah ke Sabah menerusi pengangkutan udara dan nilai rampasan dadah menerusi Op Heron sahaja adalah bernilai RM1.6 juta.

Katanya, pada 24 Julai operasi khas kedua iaitu Op Watercress dilancarkan apabila tujuh serbuan dilakukan di Lembah Klang.

Menurutu Ramli, pada operasi itu seramai sembilan suspek ditahan dan pihaknya merampas dadah pil ekstasi seberat 228.46 kilogram atau 762,000 pil.

“Malah kita juga berjaya merampas dadah syabu seberat 24.5 kilogram dan 2000 biji pil WY(Pil Kuda) dalam serbuan di tujuh lokasi berkenaan iaitu Setapak, Batu Caves dan Wangsa Maju dipercayai untuk dibekalkan ke pasaran tempatan.

“Polis juga menyita 15 buah kenderaan pelbagai jenama antaranya BMW X5 milik suspek dan wang tunai RM1.285 juta dirampas.

“Keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 1,104 juta penagih dan kesemua suspek direman sehingga 28 dan 31 julai ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk disiasat dibawah 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis sedang memburu saki baki ahli kedua-dua sindiket yang dipercayai masih bebas dan akan menjejaki mereka sehingga dapat ditangkap polis,” ujarnya.

Menurut Ramli, polis sedang memperincikan siasatan dari mana kedua-dua sindiket berkenaan memperolehi bekalan dadah.

“Siasatan juga mendapati kesemua suspek termasuk ketua kedua-dua sindiket itu mempunyai rekod jenayah lampau bersabit dadah,” tyambah beliau. – MalaysiaGazette