KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengenal pasti dua kluster baharu – masing-masing satu di Kedah dan Sarawak iaitu Kluster PUI Sivagangga, India dan Kluster Satok.
Kes Kluster PUI (individu di bawah pemantauan) Sivagangga merupakan seorang pemastautin tetap yang telah pulang ke Malaysia dari negara India pada 13 Julai lalu (iaitu kes ke-8,937).
Saringan Covid-19 yang dijalankan ke atas pesakit di pintu masuk Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) didapati negatif, kata Ketua Pengarah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Pemilik kedai makan itu telah menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) namun didapati tidak mematuhi syarat perintah tersebut dan di dalam tindakan pihak berkuasa.
Saringan ulangan didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.
Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan.
Sehingga 28 Julai lalu, seramai 28 kontak rapat telah disaring dan daripada jumlah tersebut seramai lima dikesan positif Covid-19 dan seramai 23 lagi negatif.
Empat orang daripada kes positif dalam kluster ini adalah pekerja kedai tersebut yang merupakan bukan warga negara manakala seorang lagi adalah ahli keluarga kepada kes indeks.
Kesemua kes positif itu berkongsi tempat kediaman.
Noor Hisham berkata, Kluster Satok dikesan di sebuah pasar di Satok, Kuching yang mana saringan Covid-19 telah dijalankan di pasar tersebut.
Sehingga 28 Julai lalu, sebanyak 229 orang peniaga telah disaring dan daripada jumlah tersebut empat dikesan positif Covid-19 manakala 225 negatif.
Kesemua kes positif adalah tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan.
Aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan di pasar tersebut sedang dilaksanakan termasuk proses pembersihan dan nyah kuman bagi premis dan kemudahan yang berkaitan. – MalaysiaGazette