Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat (PKPB) mungkin akan dikuatkuasakan semula sekiranya kes positif Covid-19 dalam penularan tempatan meningkat secara mendadak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan tiada pilihan melainkan menguatkuasakan semula PKP seperti yang dilakukan pada awal penularan wabak berkenaan bagi memastikan rantaian wabak Covid-19 dapat diputuskan di dalam komuniti.

“Kalau jangkitan menular dalam komuniti dan tidak terkawal, kita akan bermasalah dan mungkin akan kembali ke PKP atau PKPB.

“Dalam tempoh dua minggu ini, jika ada peningkatan kes secara mendadak dan wujudnya kluster baharu, tindakan akan kita ambil,” katanya pada Sesi Libat Urus Bersama Media di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, ketidakpatuhan rakyat terhadap tatacara operasi piawai (SOP) antara faktor yang menyebabkan jangkitan Covid-19 dalam komuniti meningkat sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, semasa pelaksanaan PKP, kepatuhan rakyat terhadap SOP adalah tinggi dan pada masa itu, jumlah kes yag positif juga adalah tinggi, namun kealpaan rakyat sekarang ini dalam tempoh PKPP adalah mungkin kerana jumlah kes harian adalah rendah.

“Kena sentiasa ingatkan rakyat Malaysia supaya patuh pada SOP kerana jika tidak patuh kepada SOP dan kes merebak dalam komuniti, kita terpaksa balik kepada PKP.

“Semua rakyat kena duduk rumah supaya KKM (Kementerian Kesihatan) dapat menjalankan aktiviti lapangan untuk kawal penularan,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham turut mengingatkan masyarakat untuk patuh SOP Aidiladha semasa menyambut perayaan itu Jumaat ini.

“Semasa Hari Raya Aidilfitri lepas, kita kawal sempadan dan kita harap masa Hari Raya Aidiladha ini tiada peningkatan kes secara mendadak,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast