KUALA LUMPUR – Kemasukan seramai 289 pelajar dari Kuching ke kolej-kolej matrikulasi di seluruh negara ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara sama turut melibatkan 154 pelajar yang merupakan penuntut di Kolej Matrikulasi Sarawak.

Menurut kenyataan itu, langkah itu diambil berikutan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, kerajaan pusat telah meluluskan permohonan kerajaan negeri Sarawak untuk menghadkan pergerakan perjalanan antara zon dari 1 Ogos sehingga 14 Ogos depan.

“Malah, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa lalu telah mengenal pasti daerah Kuching sebagai zon merah.

“Pihak kolej matrikulasi akan menghubungi semua pelajar yang terlibat dengan penangguhan ini,” demikian menurut kenyataan itu.

Sementara itu, bagi pelajar yang telah membeli tiket penerbangan untuk tujuan kemasukan ke kolej matrikulasi dan terjejas akibat penangguhan ini, KPM akan menanggung kos tiket penerbangan baharu pada kadar kelas ekonomi.

Pelajar perlu mengemukakan tuntutan yang disokong oleh dokumen pembelian tiket tersebut, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast