Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan mengelak daripada mengadakan sebarang perhimpunan besar-besaran bagi sambutan Hari Raya Aidiladha bermula esok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seperti perayaan lain semasa pandemik, Aidiladha juga harus diraikan dengan cara berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Khuatir dengan risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat, kerajaan telah mengambil pelbagai pendekatan dalam membenarkan umat Islam meraikan perayaan Hari Raya Aidiladha dengan lebih selamat.

“Elak penganjuran perhimpunan besar-besaran bagi sambutan kali ini dan beberapa prosedur standard operasi (SOP) telah dibangunkan bagi membolehkan sambutan diraikan dengan
normal baharu.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) juga ingin menekankan bahawa pemakaian alat pelitup muka adalah amat digalakkan di tempat yang sesak dan sempit terutamanya sekiranya penjarakan fizikal sukar diamalkan,” katanya dalam sidang media khas di kementerian hari ini.

Namun begitu, kata Noor Hisham, penjarakan fizikal, kebersihan tangan dan pemakaian pelitup muka adalah penting dan harus diamalkan selalu.

Beliau juga menasihatkan rakyat supaya berhati-hatil di jalan raya dan mematuhi arahan pihak berkuasa selain mematuhi SOP kesihatan awam apabila singgah di kawasan rehat dan rawat.

“Bagi yang mengambil pengangkutan awam pula, ikutilah SOP yang ditetapkan dan pakailah pelitup muka.

“Ini adalah tanggungjawab sosial yang harus dipenuhi bersama-sama oleh setiap lapisan dan kategori masyarakat.

“Dengan kerjasama orang ramai, kita boleh mengelakkan daripada berlakunya sebarang penularan Covid-19 semasa perayaan ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette