Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa beramah mesra dengan sebahagian jemaah selepas selesai menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Sungai Penchala, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 31 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Senarai calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim telah diterima daripada Barisan Nasional (BN) negeri Perak.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa berkata, senarai itu telah dikemukakan oleh Badan Perhubungan BN negeri Perak tiga hari lalu kepada Ibu Pejabat UMNO di ibu negara.

“Oleh kerana calonnya adalah dari UMNO maka Pengerusi BN (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang juga Presiden UMNO akan buat pilihan dari senarai calon yang dikemukakan dan calonnya akan diumumkan tiga hari (12 Ogos) sebelum hari penamaan calon pada 15 Ogos ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menunaikan solat sunat Aidiladha dan ibadah korban 13 ekor lembu di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah di Kampung Sungai Penchala, Damansara.

Menurut Annuar, lebih tiga orang calon disenarai pendek telah diterima dari Pengerusi BN Perak untuk pertimbangan lanjut dan keputusan oleh presiden UMNO yang juga pengerusi BN.

Ditanya gesaan supaya anak muda tempatan diambil kira dalam penentuan calon mewakili PN di kawasan itu, katanya sudah pasti segala cadangan dan sentimen masyarakat tempatan akan diutamakan dan diperhalusi parti sebelum keputusan dibuat oleh pimpinan tertinggi parti.

“Cadangan-cadangan masyarakat tempatan DUN Slim itu harus diambil kiralah, kita juga telah letakkan calon muda di DUN Chini Pahang.

“Namun kita kena juga lihat pada faktor wanita,umur, muda atau tua, faktor orang lama sebab calon ini yang penting adalah apa yang sesuai untuk masyarakat situ dan boleh buat khidmat dengan baik,” tegasnya.

Beliau juga mengesahkan telah mempengerusikan mesyuarat bersama BN Perak yang telah dihadiri pengerusi-pengerusi UMNO Perak dan juga pengerusi MCA serta MIC dengan laporan persiapan awal PRK yang sangat memuaskan.

“Alhamdulillah semuamya baik dan Perikatan Nasional serta BN mempunyai jentera yang berpengalaman dan tidak berdepan masalah.

“Cuma perlukan satu pemantauan manakala jawatankuasa itu juga telah bersetuju membentuk satu ‘Jawatankuasa Bersama Muafakat Nasional Plus’ bersama dengan dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PAS dan parti-parti lain buat pertama kali bersifat lebih besar atas semangat PN.

“Maka dalam penentuan calon DUN Slim sekarang semua parti-parti dalam MN dan PN serta BN bersepakat calonnya daripada UMNO,” tegasnya.- MalaysiaGazette