IPOH – Keberkesanan anggota tentera dan polis melaksanakan tugas berjaya mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat seterusnya membolehkan penduduk pelbagai kaum serta agama menjalani kehidupan dalam suasana aman damai.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah, dalam menjunjung amanah mempertahankan kedaulatan kemerdekaan negara dan memenuhi tanggungjawab memulihara keamanan negara, ramai anggota tentera dan polis berkorban, kehilangan nyawa serta cedera.

“Ketika kita sedang menghadapi juadah Aidiladha, beriang ria bersama keluarga dan jiran tetangga, ramai pula anggota tentera dan polis yang sedang bertugas baik di darat, air dan udara dan tidak kurang yang sedang menghadapi pelbagai ancaman,” titah baginda pada majlis sambutan Aidiladha dan memperingati Hari Pahlawan di Dataran Kem Syed Putra, di sini, hari ini.

Memetik kisah Leftenan Adnan Said menentang Jepun di Bukit Candu pada 14 Feb 1942 dan Sarjan Jamil Mohd Shah mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada serangan komunis pada 23 Feb 1950, Sultan Nazrin bertitah, peristiwa itu membuktikan tahap pengorbanan, keberanian, kecekalan dan kegigihan anggota tentera serta polis memenuhi amanah dengan semangat sedia berputih tulang daripada  berputih mata.

Baginda bertitah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyemai semangat kesetiaan kepada Raja, kesetiaan kepada negara tanpa berbelah bahagi dalam minda dan jiwa anggota mereka.

Sultan Nazrin turut bertitah, dengan penentuan Ilahi, Aidiladha tahun ini diraikan pada tarikh yang ditetapkan sebagai Hari Pahlawan bagi menghargai dan memperingati jasa serta pengorbanan anggota pasukan pertahanan dan pasukan keselamatan, terutama mereka yang terkorban ketika melaksanakan tugas.

“Beta dan rakyat yang mengutamakan keamanan amat menghargai pengorbanan  setiap anggota tentera serta setiap anggota polis. Semoga pengorbanan mereka diterima sebagai amal makruf yang diberikan ganjaran dunia, akhirat,” titah baginda sambil mengajak para hadirin memberikan tepukan penghormatan terhadap anggota keselamatan.

Sebagai Raja yang peka terhadap semua isu, Sultan Nazrin bertitah agar para pemimpin sama ada secara perkataan atau perbuatan wajib memberikan teladan untuk memupuk semangat saling memahami serta menghormati agar rakyat hidup penuh harmoni dalam sebuah negara yang aman lagi makmur.

Titah baginda, pertahanan negara akan menjadi rapuh jika rakyat daripada pelbagai kaum dan agama gagal menjalinkan hubungan yang harmoni, sebaliknya ia menjadi lebih teguh apabila rakyat berjaya dipupuk menemui titik pertemuan, menghayati semangat bersatu dalam kepelbagaian.

Mengenai sambutan Aidiladha tahun ini, Sultan Nazrin bertitah : “Anggaplah ketidakcapaian hasrat untuk melakukan ibadah haji tahun ini sebagai satu ujian Ilahi yang memerlukan pengorbanan. Semoga Allah menggantikan pengorbanan ini dengan ganjaran yang lebih baik.

“Kepada Allah kita berdoa agar mempertemukan kita sebaik penyelesaian bagi menghadapi wabak COVID-19 yang begitu mengancam kehidupan alam ketika ini,” titah baginda.

Titah baginda, pendirian kerajaan Malaysia untuk tidak menghantar jemaah bagi mengerjakan ibadah haji tahun ini selari dengan ketetapan kerajaan Arab Saudi, berpegang kepada prinsip maqasid syariah yang mengutamakan prinsip kemaslahatan ummah, menekankan keselamatan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.