Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 313 orang telah disaring melibatkan Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20 kes dikesan positif Covid-19; 280 negatif dan 13 kes masih menunggu keputusan ujian.

Jelas beliau, daripada 20 kes yang dikesan positif, semua kes adalah aktif namun tiada kes dirawat di Unit Kecemasan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan.

“Daripada kes positif yang dilaporkan, sebanyak 15 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan lima  kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Pada hari ini, sebanyak 11 kes positif dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan KKM melibatkan lapan kes merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8,975 iaitu termasuk juga satu kes pelajar sekolah berumur tujuh tahun di mana kes-8,975 merupakan kes generasi pertama.

“Tiga kes merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8,976 iaitu termasuk juga satu  kes pelajar sekolah berumur 10 tahun di mana kes-8,976 merupakan kes generasi pertama.

“Ke semua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham memberi jaminan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif (Active Case Detection) giat dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mencegah penularan Covid-19.

Ujar beliau, aktiviti pembersihan dan nyahkuman dilaksanakan di semua premis termasuklah sekolah yang terlibat dan rumah kes yang dikesan positif. – MalaysiaGazette