Amy Kwan Dict Weng

KUALA LUMPUR – Ratu gimrama negara, Amy Kwan Dict Weng berjanji untuk terus menabur bakti dalam pembangunan gimnastik dengan berkongsi kepakarannya.

Gimnas berusia 25 tahun itu, memutuskan untuk bersara selepas 21 tahun terlibat dalam acara kegemarannya, akan memulakan episod baharu dalam hidupnya sebagai jurulatih.

Dalam perkongsian di laman Facebooknya, Amy berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan, penyokong dan setiap yang terlibat sepanjang beliau berkecimpung dalam sukan gimrama.

“Ia satu perjalanan yang ada turun naik. Tangisan, darah, kecederaan dan pembedahan. Ada ketikanya saya rasa seperti putus asa, tapi dugaan ini menjadikan saya lebih kuat dan membentuk siapa saya hari ini.

“Maaf jika saya mengecewakan semua kerana bersara pada usia yang masih muda. Ini bukan perancangan asal tapi saya percaya Tuhan ada perancangan lebih baik untuk saya. Jangan bersedih, saya masih sebahagian daripada sukan yang menarik ini.

“Sudah tiba masa untuk saya menurunkan ilmu kepada generasi seterusnya. Sekali lagi, terima kasih, saya sayang semua. Amy Kwan undur diri sebagai gimnas kebangsaan,” kata pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast di Facebooknya berserta video kenangannya.

Sejak menyertai skuad kebangsaan pada 2008, Amy memenangi pelbagai kejohanan termasuk pingat emas acara riben individu, perak acara berpasukan dan dua gangsa dalam acara keseluruhan individu dan gelung di Gold Coast dan dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara dan Olimpian Terbaik Wanita pada 2018.

Amy turut meraih gangsa dalam acara riben di Kejohanan Asia 2018, selain dua emas dan dua perak di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, manakala di Sukan SEA Filipina pada 2019, beliau membawa pulang pingat gangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast