Ismail Sabri Yaakob government corruption MACC
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 315 individu ditahan polis atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, walaupun banyak arahan, peringatan dan nasihat diberikan melalui pelbagai saluran informasi, namun masih ada yang ingkar dan langar Prosedur Standard Operasi (SOP) ditetapkan.

Katanya, SOP itu tidaklah membebankan, iaitu memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

“Kerana kesalahan inilah polis yang ditugaskan menerusi Task Force Pemantauan telah menahan 315 individu di seluruh negara.

“Dari jumlah itu, 312 individu dikenakan kompaun, manakala tiga orang direman,” katanya dalam kenyataan khas mengenai perkembangan Covid-19, hari ini.

Mengenai kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng diteruskan melibatkan kerjasama beberapa badan penguatkuasa.

Beliau berkata, polsi mengadakan sebanyak 64 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa sebanyak 35,459 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pati khususnya di laluan lorong tikus sempadan negara.

Berhubung kuarantin wajib pula, beliau menyatakan, seramai 4,286 individu telah pulang ke tanah air menerusi pintu masuk sempadan antarabangsa dan semua mereka telah diarah menjalani proses kuarantin wajib.

“Mereka antara rakyat Malaysia yang pulang dari 24 negara seperti Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India.

“Dari jumlah itu, 13 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa sentiasa giat menjalankan aktiviti pemantauan bagi memastikan mereka yang sedang menjalani kuarantin di rumah mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. – MalaysiaGazette