Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin UMNO akan terus mendapat sokongan akar umbi di Sabah.

Ini kerana, tegas Naib Presiden UMNO itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah wujud kerana adanya kumpulan pembelot.

”Dia dengan parti dia, kita dengan parti kita. Wujud Bersatu di Sabah kerana kumpulan pembelot. UMNO akan terus dapat sokongan akar umbi,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyatakan parti itu bersedia untuk bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, Bersatu Sabah akan mengemukakan calon berwibawa, berkredibiliti dan boleh menang bagi memenangi kerusi yang bakal ditandingi pada PRN itu.

Hajiji juga berkata, Bersatu Sabah bersedia berbincang dengan parti Perikatan Nasional (PN), UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Sabah demi mengumpul kekuatan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette