Shahaniza Shamsuddin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin hari ini mempersoalkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui yang memfailkan permohonan di mahkamah mencabar ketetapan kerajaan Pahang mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan.

Shahaniza yang juga Exco dan ADUN Kuala Sentul itu melahirkan rasa hairan dengan sikap wakil rakyat DAP itu yang begitu marah dengan arahan kerajaan negeri sedangkan tulisan Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan di negara ini.

“Agaknya kenapa ADUN Tras (DAP) ini marah sangat dengan tulisan Jawi? Siap cabar di mahkamah tentang arahan kerajaan Negeri Pahang untuk letak tulisan jawi di papan tanda premis perniagaan.

“Bukan dia tak tahu yang tulisan Jawi tu sebahagian daripada Bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan seperti termaktub di Perlembagaan.

“Bukan dia tak reti, tapi sengaja buat tak reti. Sebab apa? Sebab nak tunjuk konon kita rasis bila kita pertahankan,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook hari ini.

Sebelum ini, ADUN dari DAP itu memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar ketetapan Kerajaan Negeri Pahang yang mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

Menurut Yu Hui, permohonan itu difailkan oleh peguamnya, M. Manogaran, Jonathan and Chong Kar Yan di Mahkamah Tinggi Kuantan, Rabu lalu.

Permohonan itu untuk mahkamah menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang dilihat sebagai memaksa orang ramai khususnya pemilik perniagaan, NGO atau mana-mana pihak untuk menyertakan tulisan jawi di papan tanda mereka.

Dalam perkembangan sama, Shahaniza berkata, pemimpin DAP sewajarnya dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan kerana cuba menggambarkan bahawa tulisan Jawi ini sebagai perkauman dan menyusahkan bukan Islam di negara ini.

“Bahasa Melayu termasuk tulisan Jawi sepatutnya menjadi bahasa dan tulisan yang menyatupadukan rakyat. Semua warganegara mesti fasih berbahasa Melayu dan memahami tulisan Jawi.

“Namun, kita selama ini tidak pernah mengambil sebarang tindakan kepada mereka yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu atas dasar toleransi kaum demi jaga keharmonian bersama,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan pemimpin DAP Pahang itu bukan sahaja untuk mencari publisiti bahkan secara tidak langsung cuba menghina institusi diraja Pahang yang mahu memperkasa tulisan Jawi di negeri itu.

“Mungkin ini satu cara DAP nak cari publisiti? Apapun, strateginya, tindakan tersebut ternyata mencabar bukan sahaja kedudukan Bahasa Melayu (yang mana tulisan Jawi adalah sebahagian darinya) seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Tetapi juga memperlekeh dan memperlecehkan titah KDYMM Sultan Pahang yang mahu tulisan jawi diperkasakan di negeri ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. apalagi shahaniza ko pun cabar lah di mahkamah utk turunkan tulisan cina duk terpampang kat papan iklan tu… kami sokong anda…

    bersama-sama kita hapuskan sekolah vernacular baru aman negara Malaysia…

Comments are closed.