PKPD TEMCO di Kubang Pasu dan Padang Terap dilaksanakan Secara Pentadbiran. Maknanya, penduduk masih boleh bergerak bebas.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini membenarkan permohonan kerajaan Kedah untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di empat kawasan melibatkan Kubang Pasu dan Padang Terap, Kedah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan yang dikuatkuasakan PKPD itu ialah radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh melibatkan Mukim Hosba dan Kubang Pasu.

Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, turut terlibat ialah Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu), Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap).

“Penguatkuasaan PKPD secara pentadbiran ini ini dilaksanakan setelah kerajaan mengambil kira 11 kes baharu yang berpunca dari Kluster Sivagangga di Kedah, melibatkan empat mukim berkenaan.

“Mesyuarat Khas Mengenai Pelaksanaan PKP hari ini telah meluluskan permohonan kerajaan Kedah untuk melaksanakannya secara pentadbiran di kawasan tersebut dari hari ini (3 Ogos) sehingga 30 Ogos ini,” katanya pada sidang media Covid-19 di Bangunan Parlimen, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD secara pentadbiran itu akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama sekitar.

Kata beliau, petugas Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat ujian saringan ke atas kira-kira 7,000 penduduk di empat kawasan berkenaan.

“Kawasan masjid dan rumah ibadat dalam kawasan itu turut ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat, manakala jemaah hanya dibenarkan seramai tiga orang sahaja untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid tersebut,” katanya.

Kedah memohon untuk melaksanakan PKPD berikutan penambahan kes positif Covid-19 di Kubang Pasu dan Padang Terap.

Selepas lima hari, kes itu bertambah kepada 20 orang dan tambahan 13 kes semalam membabitkan kawasan di Napoh, Megat Dewa dan Padang Sanai di Padang Terap. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pengunjung 16 kawasan di Kubang Pasu kena kuarantinkan diri?